Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang kini berada pada tahap tidak sihat dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga tengah malam.
Catat IPU tidak sihat
Memetik laporan Kosmo, setakat ini, Petaling Jaya merekodkan IPU 100, diikuti Shah Alam (104) dan Klang (175), sekali gus meletakkan tiga daerah berkenaan pada paras tidak sihat sehingga malam ini.
Berdasarkan maklumat terkini di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di Selangor, beberapa kawasan lain masih berada pada tahap sederhana, iaitu Kuala Selangor (59), Banting (89) dan Johan Setia (74).
Di media sosial, isu jerebu hangat diperkatakan apabila ramai pengguna mengaitkan keadaan udara tidak sihat itu dengan pembakaran mercun secara besar-besaran sejak dua hari lalu.
Seorang pengguna, Effa.y, berkongsi pengalaman berdepan masalah kesihatan susulan keadaan tersebut.
“Saya ada asma dan malam kelmarin dan semalam pagi, saya kena serang asma yang agak teruk.
“Guna inhaler beberapa kali pun masih batuk-batuk sampai muntah,” katanya.
Ina pula berpendapat pembakaran mercun yang berlaku tanpa kawalan di banyak lokasi mungkin menjadi antara faktor peningkatan pencemaran udara.
“Bangun pagi ini memang berasap saja udara, tengok Indeks Pencemaran Udara sudah catat tidak sihat,” ujarnya.
Artikel lain: Masalah Jerebu: 13 Titik Panas Dikesan Dalam Negara, 11 Di Sarawak
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menyemak bacaan kualiti udara semasa melalui aplikasi MyIPU bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai tahap pencemaran di kawasan masing-masing.
Sumber: Kosmo (Elliana Md Ilias)







































