Israel dilaporkan tidak membenarkan umat Islam menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, dengan alasan sekatan keselamatan susulan konflik berterusan di rantau itu.
Menurut Anadolu Ajansi, rakyat Palestin menyeru orang ramai untuk berkumpul berhampiran Kota Lama Baitulmaqdis pada Jumaat bagi menunaikan solat sedekat mungkin dengan Masjid Al-Aqsa sempena berakhirnya Ramadan.
Sebelum ini, polis Israel dilaporkan menggunakan rotan, bom bunyi dan gas pemedih mata terhadap rakyat Palestin yang menunaikan solat di luar tembok Kota Lama sebagai tanda protes terhadap sekatan yang dikenakan sepanjang Ramadan.
Situasi di Baitulmaqdis Timur yang diduduki juga dilaporkan suram apabila kawasan Kota Lama yang kebiasaannya meriah menjelang Aidilfitri kini lengang dan disifatkan seperti bandar hantu.
Artikel lain: Jemaah Dipaksa Beredar! Tentera Israel Halang Solat Isyak, Tarawih Di Masjid Al-Aqsa
Dalam pada itu, Israel turut mengehadkan akses ke kawasan berkenaan dengan alasan larangan perhimpunan awam.
Seorang peniaga Palestin yang enggan dikenali berkata, sekatan tersebut memberi kesan besar terhadap kehidupan mereka.
“Sekatan ini menyebabkan kami mengalami kesusahan ekonomi yang teruk,” katanya.
Difahamkan, kebanyakan premis perniagaan diarahkan tutup dengan hanya farmasi dan kedai makanan asas dibenarkan beroperasi.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































