Pemecatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani dua bulan lalu dilihat bertambah serius apabila perkara itu mula dibawa ke muka pengadilan.
Bekas CEO saman Yayasan dan Bank Rakyat

Foto: NasionalDaily
Memetik laporan malaysiakini, Syaiful telah memfailkan saman dengan tuntutan ganti rugi lebih RM36 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu, bersama empat lagi plaintif yang mendakwa mereka dipecat tanpa alasan munasabah dan tidak mematuhi tatakelola pengurusan.
“Punca kuasa pelantikan saya adalah daripada Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Rakyat, tetapi perkhidmatan saya telah ditamatkan oleh jawatankuasa eksekutif yang baru ditubuhkan.
“Sedangkan menurut undang-undang, jawatankuasa tersebut tidak mempunyai kuasa untuk mengambil alih peranan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Rakyat.
“Tindakan yang dikenakan bukan sahaja menjejaskan reputasi profesional, malah mencemarkan integriti institusi seandainya dapat dibuktikan bahawa pihak Bank Rakyat mempunyai motif untuk berkonspirasi dalam pemecatan,” kata Syaiful di ibu negara pada Isnin lalu.
Menurut writ saman, plaintif juga mendakwa wujud konspirasi tort untuk mencederakan mereka (tort of conspiracy to injure) namun dakwaan itu tidak dihuraikan.
Justeru itu, mereka menuntut mahkamah agar mengisytiharkan penamatan kontrak itu adalah tidak sah dan turut memohon pelbagai jenis ganti rugi.
Difahamkan, Syaiful Rizal sebagai plaintif utama menuntut lebih RM4 juta daripada Yayasan Bank Rakyat dan Bank Rakyat, iaitu gaji menyamai tiga tahun bekerja berjumlah RM1.3 juta, elaun perubatan RM1.44 juta serta bonus tiga tahun sebanyak RM1 juta.
Mukhti pula menuntut jumlah paling besar iaitu lebih RM15 juta, termasuk gaji hingga persaraan bernilai RM9.4 juta, bonus tahunan RM5 juta serta cuti tahunan tidak digunakan sebanyak RM895,000.
Manakala, Ghazali pula meminta ganti rugi RM3 juta, bonus tahunan untuk 10 tahun RM1.5 juta, elaun bulanan RM285,000 dan cuti tidak digunakan sebanyak RM248,000.
Seterusnya, Khairul Na’im juga memohon lebih RM9 juta. Tuntutan dibuat mengikut gaji sehingga persaraan dalam tempoh 22 tahun bernilai RM6.7 juta, bonus RM1.9 juta dan cuti tidak digunakan RM638,000.
Plaintif terakhir, Muhamad Johary pula menuntut lebih RM3 juta, meliputi gaji RM2 juta, bonus prestasi RM983,000 dan elaun bulanan sebanyak RM206,000.
Artikel lain: Prestasi Kewangan Memberangsangkan, Bank Rakyat Umum Dividen 15%
Terdahulu, Syaiful telah membuat laporan polis pada 18 April dengan mendakwa laporan akhir audit yang diterimanya mempunyai unsur jahat dan mengelirukan.
Difahamkan, laporan itu turut didakwa tidak konsisten dengan exit meeting iaitu mesyuarat terakhir sebelum meninggalkan yayasan yang dilakukan pada 24 Mac kerana semua persoalan audit dijawab tanpa bantahan.
Sumber: malaysiakini (Ammar Izzudin Zainudin)
