Kakak kepada pelajar tingkatan lima yang maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, tengah hari semalam memohon bantuan orang ramai.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Nur Zawani Muhd Zamrie meminta jasa baik orang ramai yang berada di lokasi kejadian untuk hadir sebagai saksi bagi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Kakak mangsa berkata, dia mendengar ramai orang mengatakan adiknya sengaja dilanggar kereta jenis Perodua Ativa dipandu yang dipandu pegawai kanan polis dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah.
Bagaimanapun, dia tidak dapat fokus dan mengenalpasti suara-suara yang mengatakan adiknya sengaja dilanggar disaat dirinya sedang cemas memberikan bantuan pada ketika itu.
“Di tempat kejadian orang ramai. Pelajar sekolah, ibu bapa yang nak mengambil anak. Orang nak ke masjid. Ketika saya sedang beri bantuan kepada adik saya, ramai yang bersuara mengatakan adik saya sengaja dilanggar.
“Tapi, dalam keadaan yang tidak keruan itu, saya tidak dapat fokus untuk melihat siapa yang berkata.
“Saya perlukan saksi kejadian untuk tampil membuat laporan polis di IPD Ipoh,”tulisnya.
Allahu… part bila sampai ambulans tue… bergenang air mata wehh😣😢😢
Kenyataan daripada pihak keluarga yg berada di tempat kejadian sejurus pengebumian selesai.
Gambar last, kenyataan dari saksi.
Al Fatihah buat arwahyarham adik Muhammad Zaharif Affendi Bin Muhd Zamrie. pic.twitter.com/MstWHAlUTW
— Jabatan Netizen Malaysia 🇲🇾 (@jnmalaysia) December 15, 2023
Rayu Nur Zawani, dia juga berharap agar orang ramai membantu mereka sekeluarga bagi menegakkan keadilan kematian adik bongsunya.
“Letakkan sedikit ihsan sesama manusia kepada keluarga saya. Bantulah kami. Ibu bapa saya kehilangan anak bongsunya.
“Kami redha pemergian dia. Kami tidak redha orang yang aniaya dia,”katanya lagi.
Sebelum ini, Nur Zawani meluahkan rasa kecewa apabila adiknya dilakukan sedemikian selain tegas mengatakan mereka sekeluarga akan menuntut keadilan kematian Muhammad Zaharif Affendi.
Dia sebelum ini cuba bantu adiknya itu untuk mengucap selain dia sendiri sempat memangku adiknya bagi memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
“Ketika kejadian, saya berada berhampiran lokasi kemalangan dan terperanjat apabila diberitahu orang awam bahawa mangsa kemalangan itu itu adalah adik sendiri.
“Saya pangku dia, saya memang cuba selamatkan dia. Saya yang buat CPR masa mula-mula tiba di situ. Ketika itu adik masih bernyawa tetapi sudah tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” katanya yang juga seorang jururawat.
Jenazah Muhammad Zaharif Affendi dituntut keluarga selepas proses bedah siasat selesai jam 6.30 petang dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tujuh individu telah tampil memberi keterangan berhubung insiden kematian seorang pelajar lelaki akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru, pada Jumaat.
Kesemua individu tersebut merupakan kalangan saksi di tempat kejadian dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi saksi-saksi lain akan hadir memberikan keterangan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan menerusi kenyataan berkata, pegawai kanan polis dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah yang dipercayai terbabit dalam insiden itu sudah ditahan dan akan menjalani proses permohonan reman, esok.
Untuk rekod, anggota polis itu kini sudah ditahan dan akan menjalani proses permohonan reman pada hari ini untuk siasatan lanjut.
Selain disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya, siasatan akan turut dijalankan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: FB Zetty Zamrie, Sinar Harian (Normawati Adnan)