Sebanyak 14,000 ekor ayam diagihkan kepada penduduk di Parlimen Permatang Pauh menerusi 29 masjid sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
Pegawai Pusat Khidmat Rakyat MADANI Permatang Pauh, Ahmad Zhafri Mohd Nazri berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kerjasama Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
“Program agihan itu dilaksanakan di 29 masjid dan satu lokasi di Yayasan Aman dengan setiap masjid menerima agihan berbeza bergantung pada jumlah kariah, purata antara 500 hingga 700 ekor ayam.
“Pengurangan jumlah agihan tahun ini berbanding 28,000 ekor ayam tahun lepas, disebabkan program tidak dapat dilaksanakan pada hari Jumaat seperti tahun sebelumnya, yang menyaksikan kehadiran lebih ramai penerima selepas solat Jumaat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan ayam di Yayasan Aman, semalam.
Sebanyak 400 ekor ayam turut disediakan di Yayasan Aman dan habis diagihkan dalam tempoh kurang 15 minit apabila orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkannya.
Artikel lain: PM Anwar Umum Peruntukan RM500 Juta Baiki Kerosakan Fasiliti Awam Terjejas Akibat Banjir
Mohd Zhafri berkata, inisiatif itu merupakan hasrat Perdana Menteri bagi meringankan beban rakyat, khususnya dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Sementara itu, seorang warga emas, Siti Zaitun Mustafa, 70, meluahkan rasa syukur selepas menerima sumbangan berkenaan dan menyifatkan ia membantu mengurangkan perbelanjaan.
“Saya tahu mengenai bantuan ini daripada jiran dan juga makluman di masjid, dan bercadang untuk memasak ayam sebagai juadah Aidilfitri nanti.
“Alhamdulillah, dengan bantuan seperti ini, bolehlah berjimat sikit untuk raya nanti,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas inisiatif itu.
Sumber: BERNAMA










































