Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menasihati ahli politik untuk menghentikan budaya ‘politiking‘ bagi memastikan kestabilan sesebuah negara terbela.
Memetik laporan Astro Awani, keberhasilan rancangan pembangunan bergantung kepada kestabilan politik negeri dan negara dalam merangka masa depan yang lebih cerah.
Oleh itu, adalah rugi sekiranya pemimpin mengetepikan perpaduan rakyat dengan mementingkan kedudukan dalam politik kerana ia mendatangkan kesan serius terhadap kemajuan sesebuah negara.
Dalam pada itu, Abang Johari meletakkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang memiliki kelebihan masa depan lebih cerah kerana meletakkan perpaduan rakyat sebagai perkara utama bagi membentuk kestabilan politik mampan.
“Kestabilan politik membolehkan pemimpin berfikir dengan baik apa yang hendak dilakukan untuk masa depan Sarawak.
“Malah, kita merangka beberapa cara baharu dalam melaksanakan transformasi Sarawak, namun jika anda sibuk berpolitik, anda tidak akan berjaya merangka masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) bahagian Miri, di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Abag Johari mengakui pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kepimpinan tertinggi Brunei baru-baru ini yang menyifatkan Sarawak sebagai contoh terbaik sebagai negeri terkuat di Malaysia.
“Pada majlis malam di Brunei, Perdana Menteri berkata Semenanjung Malaysia harus belajar daripada Sarawak termasuk aspek menjana pendapatan menerusi ekonomi baharu yang akan mentransformasikan Sarawak khususnya dan amnya, Malaysia secara keseluruhan,”ujarnya.
Tambahnya lagi, perkara yang disuaraka oleh Anwar di hadapan tetamu kehormat dari Brunei jelas menunjukkan beliau menghargai kestabilan yang ditunjukkan oleh Sarawak.