Dua pasangan beregu badminton utama Malaysia mara meneruskan cabaran dalam Kejuaraan Terbuka Denmark selepas bangkit menyingkirkan pihak lawan masing-masing di Fyn Arena (Jyske Bank Arena), Odense pada Jumaat.
Menurut laporan Sinar Harian, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas dipaksa berhempas pulas sebelum menjinakkan wakil Korea Selatan, Lee Yu-lim-Shin Seung-chan.
Foto: SNE Sports
Dua beregu badminton wanita Malaysia ini tampil dengan status nombor tujuh dunia bermula langkah kiri set pertama apabila tewas 20-21 setelah diasak sengit lawan yang menghuni tangga ke-14 tersebut.
Set kedua pula, Pearly-Thinaah yang masih segar dengan memori naib juara Terbuka Artik Super 500 kembali menjelmakan belang apabila menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-18.
Foto: Sinar Harian
Set ketiga, Pearly-Thinaah tidak menoleh lagi ke belakang meningkatkan tekanan ke atas Yu-lim-Seung-chan untuk kemenangan, 21-16 dalam masa 70 minit.
Kemenangan itu membolehkan Pearly-Thinaah berdepan pasangan nombor enam dari Jepun, Kie Nakanishi-Rin Iwanaga yang mengatasi wakil Taiwan, Sung shuo-Yun-Yu Chien-hui, 21-8, 21-12 dalam masa 30 minit.
Foto: The Malaysian Reserve
Seterusnya, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga berdepan situasi sama ketika berdepan lawan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Aaron-Wooi Yik yang sebelum ini cemerlang dengan menundukkan beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura dikejutkan dengan kekalahan 23-21 set pertama.
Namun Wei Chong-Kai Wun yang menundukkan beregu England, Callum Hemming-Ethan Van Leeuwen gagal meneruskan konsistensi dengan kebangkitan Aaron -Wooi Yik apabila tewas set kedua, 17-21.
Foto: New Straits Times
Set ketiga pula, Aaron -Wooi Yik yang kembali menemui rentak tenang menghabiskan cabaran Wei Chong-Kai Wun dengan kemenangan 21-16 dalam masa 58 minit bagi mengesahkan pertemuan menentang wakil China, Chen Boyang-Liu Yi.
Sementara itu, ada satu lagi cabaran beregu negara kita, Yap Roy King-Wan Arif Junaidi tersekat selepas akur kepada pengalaman juara nombor dua dunia tuan rumah yang juga naib juara Terbuka Artik, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 14-21, 7-21 dalam masa 29 minit.
Tahniah dan syabas buat kedua-dua pasangan beregu badminton negara kita. Semoga terus maju dalam menaikkan nama Malaysia!
Sumber: Sinar Harian (Zuraimee Zainal)