Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila didakwa diganggu seorang lelaki separuh bogel yang melakukan perbuatan lucah di dalam sebuah masjid di Bukit Siput, Segamat pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.29 petang semalam daripada mangsa yang juga wanita tempatan berusia lingkungan 40-an.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.15 pagi ketika mangsa sedang menunaikan solat sunat Dhuha di masjid berkenaan.
“Semasa mangsa sedang bersolat, seorang lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba datang dalam keadaan separuh bogel dan melakukan perbuatan onani sambil memandang ke arah mangsa.
“Bimbang akan keselamatan diri, mangsa terus melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Jumazanzahir berkata, siasatan awal mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian berjaya merakam perbuatan suspek.
Menurutnya, suspek disyaki seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an, berbadan kurus dan berkulit cerah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Beliau berkata, pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menahan suspek bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, rakaman CCTV berdurasi satu minit 14 saat itu memaparkan seorang lelaki dipercayai menanggalkan seluarnya, lalu memakai sehelai tuala sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh sambil mengintai mangsa yang sedang mendirikan solat.







































