Seorang pengarah kanan Farm Fresh Bhd, Jacob Matha dilaporkan maut selepas helikopter yang dinaikinya dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum terhempas di Pililla, Wilayah Rizal, Filipina pada pagi Selasa.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi waktu tempatan ketika Jacob dalam perjalanan lawatan ke sebuah lokasi ladang berpotensi bagi tujuan kerja syarikat.
Pengarah Urusan Farm Fresh Bhd, Loi Tuan Ee, dalam satu kenyataan rasmi menyifatkan pemergian Jacob sebagai satu kehilangan yang amat besar buat syarikat serta seluruh warga kerjanya.
Menurut beliau, Jacob bukan sahaja seorang profesional yang berdedikasi dan bertanggungjawab, malah seorang individu yang disenangi ramai serta dianggap seperti ahli keluarga sendiri dalam organisasi tersebut.
“Jacob menyertai Farm Fresh sebagai pelatih industri kira-kira 13 tahun lalu. Saya masih ingat hari pertamanya di Mawai Farm. Beliau menunjukkan rasa tanggungjawab yang tinggi, keinginan kuat untuk belajar, dan paling penting, seorang yang benar-benar baik hati,” kata Loi hari ini.
Loi berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan Jacob, mendiang membuktikan kecemerlangan profesional dalam kerjaya sehingga dilantik sebagai Pengarah Ladang.
“Secara peribadi, Jacob seorang yang peramah, menghormati orang lain dan berbudi bahasa kepada semua. Tidak hairanlah mendiang disenangi dan dihormati oleh seluruh warga Farm Fresh. Bagi saya, mendiang sudah menjadi seperti ahli keluarga sendiri.
“Ramai yang boleh mengakui sumbangan besar Jacob dalam membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi, khususnya dalam divisyen ladang tenusu, di samping membina hubungan baik dengan pasukan kerja, kontraktor dan pembekal.
“Mendiang juga berjaya membina hubungan serta kepercayaan kukuh dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan lain-lain,” ujarnya.
Helikopter berkenaan membawa lima individu termasuk dua rakyat Malaysia. Selain Jacob, seorang warga Filipina turut dilaporkan terkorban, manakala tiga lagi mangsa terselamat.
Difahamkan, Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh Filipina, Shawn yang turut berada dalam pesawat itu dilaporkan mengalami kecederaan namun kini berada dalam keadaan stabil.
Menurut maklumat awal, helikopter itu sepatutnya menjalankan perjalanan rutin ke lokasi ladang baru untuk menilai potensi pembangunan. Namun, insiden tragik itu berlaku apabila pesawat dipercayai menghadapi masalah enjin sebelum terhempas.
Punca sebenar nahas masih dalam siasatan pihak berkuasa Filipina.
Pemergian Jacob dianggap satu tamparan hebat bukan sahaja dari segi profesionalisme, tetapi juga secara peribadi kerana mendiang terkenal dengan sikap peramah, rendah diri, dan sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua rakan sekerja serta pekerja ladang.
Dalam masa yang sama, Loi menyeru seluruh warga kerja dan pihak berkaitan mendoakan kekuatan dan ketabahan buat isteri mendiang, Amy Lim serta ahli keluarga.
Farm Fresh Bhd menegaskan bahawa kepimpinan divisyen ladang yang telah dibangunkan dan diperkukuh oleh Jacob akan diteruskan bagi memastikan operasi syarikat berjalan lancar, sebagai menghormati jasa dan sumbangan mendiang sepanjang 13 tahun berkhidmat.
“Jacob pergi terlalu awal. Secara peribadi, hari ini merupakan hari yang amat memeritkan buat saya. Saya masih belum dapat menerima hakikat bahawa beliau sudah tiada bersama kita.
“Masa mungkin akan meredakan kesedihan ini, namun walau berapa lama pun berlalu, saya ingin Jacob sentiasa dikenang sebagai seorang kakitangan Farm Fresh yang contoh dan amat bernilai.
“Jacob, kehidupanmu adalah satu anugerah besar buat saya dan buat Farm Fresh Bhd. Kenangan bersamamu adalah satu khazanah yang akan saya hargai selama-lamanya,” kata Loi lagi.
Sumber: Facebook Farm Fresh Milk Malaysia







































