Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas aset bernilai keseluruhan RM11.4 juta merangkumi wang tunai, jam tangan mewah, emas serta kenderaan mewah berhubung siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
SPRM Sita Aset Bernilai RM11.4 Juta
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sitaan itu melibatkan wang tunai berjumlah RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, sebuah kenderaan jenis Range Rover bernilai kira-kira RM360,000 serta 26 unit jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta.
“Kebanyakan jam tangan yang disita adalah jenama Rolex dan kita telah membuat pengenalpastian bahawa jam-jam ini adalah tulen,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, hari ini.
Menurut beliau, SPRM turut merampas barangan kemas bernilai RM294,039, dua cincin perhiasan bernilai RM20,000, selain jongkong emas seberat 3.7 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta mengikut harga semasa.
“Selain itu, kita turut menyita jongkong emas seberat 150 gram bernilai RM102,000 serta dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780,” katanya.
Maklum Azam, keseluruhan nilai sitaan fizikal berjumlah RM11.4 juta, manakala sebanyak 75 akaun syarikat dengan nilai keseluruhan RM32.5 juta turut dibekukan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Sitaan berkenaan dilakukan di dua lokasi utama iaitu sebuah kediaman di Kuala Lumpur dan sebuah lagi rumah di Besut, Terengganu, hasil maklumat risikan yang diperoleh SPRM.
“Pegawai saya terpaksa ke Terengganu dua kali bagi mendapatkan barang-barang kes ini berdasarkan maklumat yang diterima.
“Kita pamerkan barang-barang ini bukan untuk showcase, tetapi sebagai barang bukti supaya maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah betul,” tegasnya.
Dalam pada itu, Azam turut menafikan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa mereka adalah pemberi maklumat sehingga membawa kepada rampasan tersebut.
“Kalau ada pihak mengatakan dialah yang memberi bantuan atau maklumat, itu tidak benar. Ini adalah hasil tindakan dan perisikan pegawai SPRM,” katanya.
Beliau menegaskan siasatan masih diteruskan dan semua aset yang dirampas akan dijadikan bahan bukti penting sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi keputusan lanjut dalam masa terdekat.
Artikel lain: Azam Baki Sahkan Bekas PTD Bebas Daripada Tahanan Reman SPRM Kelmarin
Media sebelum ini melaporkan SPRM mengesan aktiviti penerimaan rasuah secara terancang yang dipercayai berlaku dalam kalangan pegawai tentera, melibatkan proses perolehan agensi berkenaan.
Sumber memaklumkan, siasatan turut mengesan beberapa pegawai tentera dipercayai memainkan peranan dalam kes terbabit, manakala SPRM kini memberi tumpuan kepada dakwaan kewujudan rangkaian rasuah yang berlaku dalam agensi berkenaan.
Sumber: FB Astro Awani, BH Online, Harian Metro














































