Waktu bekerja bagi penjawat awam negeri Pahang pada setiap Jumaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini ditetapkan sehingga 12.30 tengah hari.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penetapan waktu bekerja itu adalah selaras dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Penetapan ini turut melibatkan semua jabatan negeri, Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri,” katanya dalam kenyataan.
Foto: Bernama
Sementara itu, Wan Rosdy menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah atas keprihatinan dan kecaknaan terhadap kesejahteraan rakyat baginda.
“Patik pacal-pacal Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga akan terus beriltizam untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan juga Pahang demi kemakmuran bersama,” katanya lagi.
Artikel lain: Umat Islam Di Yogyakarta Sudah Mula Solat Tarawih, Puasa Semalam
Sementara itu, tarikh melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia tahun ini ialah pada petang Ahad, 10 Mac bersamaan 29 Syaaban 1445 Hijriah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Permulaan Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Menurutnya, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan tarikh permulaan puasa pada malam itu melalui melalui radio dan televisyen.
Kenyataan itu menyebut jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut di 29 lokasi di seluruh negara iaitu Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.
Sumber: Instagram wanrosdyofficial