Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, memuji tindakan seorang datuk berusia 75 tahun yang membuat laporan terhadap cucunya sendiri yang terlibat penyalahgunaan dadah, menyifatkannya sebagai langkah berani dan bertanggungjawab demi keselamatan serta masa depan ahli keluarga.
Raja Muda Kedah cemar duli kunjungi kediaman warga emas
Memetik laporan daripada Sinar Harian, baginda yang mencemar duli berkunjung ke kediaman warga emas itu di Kampung Sungai Pial, Bedong, Tanjung Dawai pada petang Khamis, diiringi Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff. menyatakan tindakan tersebut merupakan bentuk kasih sayang kepada cucu.
“Ini menunjukkan datuk ini sayangkan cucunya. Tindakan sebegini boleh menyelamatkan cucu daripada menjadi lebih teruk dan membuka ruang kepada pihak berkaitan untuk membantu proses pemulihan,” titah baginda.
Raja Muda Kedah sifatkan tindakan itu bentuk tanggungjawab
Baginda menegaskan bahawa melaporkan perkara salah dari segi agama dan moral adalah tanggungjawab setiap individu, bukan sahaja pihak berkuasa.
“Jangan simpan dan jangan takut untuk membuat laporan jika perkara itu salah. Jika ada keluarga lain yang berdepan situasi sama, contohilah tindakan datuk ini dengan melaporkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) supaya tindakan susulan dapat diambil,” titah baginda lagi.
Artikel lain: Peguam Ditahan, Disyaki Bersubahat Seludup Bahan Terlarang Ke Penjara Marang
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, cucu warga emas berusia 29 tahun itu pernah ditahan polis beberapa kali sebelum ini atas kesalahan berkaitan dadah, dan ditahan sekali lagi malam Rabu selepas laporan dibuat oleh datuknya bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.
Suspek didapati mengambil syabu dan heroin sehingga mengalami halusinasi, mendorong datuknya bertindak segera.
Sebelum ini, media melaporkan datuk terbabit terpaksa meminta bantuan pihak berkuasa walaupun berdepan dilema emosi yang berat kerana tidak sanggup melihat cucunya terus terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.
Sumber: Sinar Harian (Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor)







































