Penganjur program ‘Glamping with Pride’ yang sebelum ini mencetus kontroversi mengumumkan pembatalan acara tersebut susulan kebimbangan keselamatan yang serius.
Kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ), Jejaka, berkata pembatalan dibuat selepas pelbagai reaksi daripada pihak tertentu, termasuk amaran tindakan tegas sekiranya program diteruskan dan saranan daripada Mufti Wilayah Persekutuan agar program itu dihentikan.
Penganjur Batalkan ‘Glamping with Pride’
Menurut Jejaka, mereka turut menerima ugutan bunuh dan keganasan, termasuk melalui media sosial, yang akan dirujuk kepada pihak berkuasa.
“Pembatalan ini bukan kerana aktiviti ini menyalahi undang-undang, tetapi kerana keadaan semasa yang dicetuskan oleh retorik tidak bertanggungjawab, kecelaruan maklumat dan ‘fear mongering’ sehingga menjadikan keselamatan nyawa sebagai taruhan,” kata Jejaka dalam kenyataan rasmi.
Tegas jejaka, program itu bertujuan untuk pendidikan kesihatan awam, termasuk mengurangkan stigma terhadap isu HIV, dan bukan terbuka kepada umum.
Kumpulan itu juga meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan beberapa pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang didakwa memburukkan suasana sehingga mendedahkan komuniti minoriti kepada ancaman keselamatan.
“Komuniti LGBTQ+ wujud di seluruh Malaysia di bandar dan desa, di tempat kerja dan dalam keluarga. Kami bukan ancaman dan kami bukan orang asing. Kami juga rakyat Malaysia,” tambah Jejaka.
Dalam pada itu, pihak penganjur menegaskan mereka akan terus memperluas pendidikan kesihatan, mengukuhkan sokongan komuniti dan mempertahankan hak asasi dalam ruang yang selamat dan bertanggungjawab.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peraturan berkaitan penganjuran program.
Artikel lain: Spa Songsang: Tiada Siapa Mengaku Jadi Mangsa, 171 Warga Tempatan Dibebaskan – KP KL
Ketua Pengarah Jakim, Sirajuddin Suhaimee, menekankan program tersebut bercanggah dengan ajaran Islam serta nilai akhlak dan budaya masyarakat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, turut menasihatkan penganjur menghentikan program yang didakwa bertentangan fitrah manusia.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menyatakan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti LGBT di negeri itu, manakala Pengerusi MAIS, Salehuddin Saidin, dan Mufti Selangor, Anhar Opir, diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang penganjuran seumpama itu.
Sumber: IG Jejaka












































