Pempengaruh media sosial perlu mengisytiharkan semua pendapatan, termasuk barangan percuma, hadiah atau manfaat yang diterima bagi tujuan penilaian atau promosi produk (review).
Ia selaras dengan Garis Panduan baharu yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
LHDN dalam kenyataannya memaklumkan, garis panduan itu bertujuan memudahkan pematuhan undang-undang cukai, bukan sahaja oleh orang awam malah pegawai LHDN sendiri, selaras kuasa Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri di bawah Seksyen 134A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) untuk menerbit, meminda atau membatalkan garis panduan berkenaan dari semasa ke semasa.
Pempengaruh Media Sosial Perlu Isytihar Semua Pendapatan
Menurut LHDN, pempengaruh media sosial atau digital ditakrifkan sebagai individu yang mempunyai keupayaan mempengaruhi orang lain di media sosial atau dalam bidang digital melalui kuasa, pengetahuan, kedudukan atau hubungan dengan pengguna.
“Pempengaruh media sosial bukan sahaja individu yang mempunyai ramai pengikut, malah mereka juga mampu menjana pendapatan yang lumayan melalui aktiviti di media sosial dan digital.
“Justeru, pempengaruh wajar diiktiraf sebagai satu kerjaya yang menjana pendapatan terbit dan diterima,” katanya.
Jelas LHDN, aktiviti pempengaruh merangkumi penghasilan kandungan audio, video atau penulisan, kemunculan dalam program atau acara media sosial, penglibatan dalam promosi produk serta penerimaan bayaran, hadiah atau sebarang manfaat hasil keterlibatan di platform digital.
Dalam pada itu, pempengaruh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu pempengaruh individu dan pempengaruh berasaskan objek.
Pempengaruh individu termasuk ahli politik, artis, ahli sukan, golongan profesional, pelajar serta suri rumah.
Sementara itu, pempengaruh berasaskan objek merujuk kepada watak animasi, watak lakonan atau watak ciptaan yang didaftarkan di mana-mana platform media sosial dan mempunyai pengikut.
Artikel lain: LHDN Lancar 5 Produk Baharu Sempena Hari Hasil 2024
Mengulas sumber pendapatan, LHDN memaklumkan ia meliputi bayaran langsung daripada platform media sosial, bayaran sebagai duta produk, jualan barangan, jualan akaun atau ID pempengaruh, royalti watak di media sosial serta lain-lain penerimaan hasil berkaitan.
Bayaran pula boleh diterima dalam pelbagai bentuk termasuk fi pengurusan, yuran bakat, yuran peserta, bayaran khidmat rundingan dan sebagainya, sama ada secara tunai atau bukan tunai seperti barangan, baucar diskaun, perkhidmatan percuma, tanda suka (emoji) dan hadiah digital yang mempunyai nilai wang.
Selain itu, pempengaruh turut dibenarkan menuntut perbelanjaan tertentu di bawah Seksyen 33 ACP, antaranya kos internet, penggambaran serta penyuntingan bahan.
Bagaimanapun, perbelanjaan peribadi atau berbentuk modal adalah tidak dibenarkan.
LHDN turut menegaskan, semua pempengaruh media sosial perlu menyimpan rekod pendapatan dan dokumen sokongan bagi tujuan pengauditan.
Jelasnya, rekod berkenaan hendaklah disimpan selama tujuh tahun bermula dari akhir tahun borang nyata cukai pendapatan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.
Sumber: Harian Metro (Zatul Iffah Zolkiply)











































