Kekurangan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan jaringan internet tidak menjadi halangan buat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemok, Kuala Rompin, Pahang, Roziana Tan Beng Hai, 20, untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.
Anak kedua daripada dua beradik yang berasal dari Kampung Mentelong, Rompin itu berjaya meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, sekali gus dinobatkan sebagai pelajar cemerlang kategori Orang Asli.
Roziana, Pelajar Orang Asli Raih PNGK 4.00
Ketiadaan kemudahan asas menyebabkan Roziana, daripada suku kaum Jakun, mengambil keputusan untuk tinggal di asrama sekolah agar dapat belajar dalam keadaan lebih selesa dan konsisten.
“Kampung saya jauh dari sekolah, nak sampai ke sana mengambil masa satu jam menyebabkan perlu duduk di asrama,” katanya.
Lebih mencabar, kawasan kampungnya langsung tidak mempunyai akses internet dan bergantung kepada penjana (generator) bagi mengecas telefon.
“Di kampung saya juga tidak ada jaringan internet, jadi saya kena pergi sejauh dua hingga tiga kilometer ke depan kampung supaya saya dapat jaringan internet.
“Lagi satu, kampung kami juga tidak ada elektrik, kena guna generator untuk caj telefon,” katanya.

Kredit Foto: MUHAIMIN MARWAN
Artikel lain: STPM 2024: Pelajar Autisme Raih Keputusan PNGK 4.0
Roziana ditemui selepas menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2024 sempena majlis penyampaian anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini.
Mengulas lanjut, Roziana berkata kejayaannya didorong oleh disiplin yang tinggi, semangat tidak mudah putus asa dan kebiasaan untuk bertanya apabila tidak memahami sesuatu pelajaran.
Selain itu, dia turut menetapkan matlamat sejak awal dan memastikan pengurusan masa dilakukan sebaik mungkin.
Roziana yang bercita-cita menyambung pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga menyimpan hasrat besar untuk mengubah kehidupan keluarganya.
“Saya nak memperbaiki kedudukan sosial keluarga agar boleh berdiri sebagai Orang Asli yang hebat,” katanya.
Sumber: Harian Metro (Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Nur Aisyah Batrisyia Abd Razak)
