Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan menyekat sementara aplikasi kecerdasan buatan (AI) Grok susulan kegagalan platform X memastikan aspek keselamatan dalam talian, khususnya berkaitan kandungan berbahaya serta pendedahan kepada kanak-kanak.

Foto: NADI Malaysia
MCMC ambil tindakan selepas X gagal patuhi undang-undang Malaysia
Memetik laporan daripada Berita Harian, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan tindakan itu diambil selepas pihak X gagal mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Keselamatan Dalam Talian.
“MCMC menghubungi pihak X pada minggu lalu bagi mendapatkan penjelasan mengenai masalah aplikasi Grok yang boleh menghasilkan gambar (kandungan) yang tidak senonoh, terutama membabitkan kanak-kanak dan wanita.
“Jadi ini satu pelanggaran Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga Akta Keselamatan Dalam Talian di negara kita.
“Pihak X sudah memberikan maklum balas, tetapi tidak memadai kerana kenyataannya proforma (bukan rasmi).
Jadi selepas mendapat maklum balas daripada MCMC, saya mengarahkan supaya sekatan sementara dikenakan terhadap Grok, selain pihak X dipanggil berbincang dan kita akan pertimbang juga tindakan undang-undang,” katanya.
Foto: NADI Malaysia
MCMC tumpu kepada aplikasi Grok
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut Fahmi, sekatan itu tidak melibatkan keseluruhan platform X, sebaliknya hanya tertumpu kepada aplikasi Grok yang didapati tidak mempunyai kawalan keselamatan mencukupi untuk penggunaan AI.
“Isu ini membabitkan pelanggaran Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Keselamatan Dalam Talian. Selagi kandungan melanggar undang-undang terus diterbitkan, maka boleh dikenakan tindakan kepada platform itu.
Berapa lama Grok akan disekat, itu tidak dapat dipastikan, sehingga mereka mesti patuh dan akur dengan undang-undang negara kita,” katanya.
Foto: NADI Malaysia
Artikel lain: KPWKM Sokong Langkah MCMC Perkukuh Keselamatan Digital Kanak-Kanak
Tambah beliau, beberapa negara lain termasuk Indonesia turut mengambil tindakan menyekat Grok, manakala United Kingdom sedang meneliti isu sama, selain Malaysia akan mengadakan pertemuan bersama Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian (JKDT) bagi memastikan keselamatan internet terutama untuk kanak-kanak dan keluarga terus diperkukuh.










































