Kelantan menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggubal undang-undang mewajibkan anak menanggung nafkah ibu bapa, selaras cadangan kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh kebajikan warga emas.
Kelantan jadi negeri pertama
Menurut laporan Sinar Harian, perkara itu dimaklumkan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) pada 12 November lalu.

Foto: SInar Harian
Menurut beliau, langkah tersebut menunjukkan pendirian proaktif Kelantan dalam menangani isu pengabaian warga emas serta memperkukuh tanggungjawab anak dan waris terhadap ibu bapa.
“Melalui peruntukan ini, mahkamah boleh memerintahkan anak atau cucu membayar nafkah kepada ibu, bapa, datuk, nenek, moyang dan seterusnya. Waris pusaka juga bertanggungjawab menjaga warga emas yang tidak mempunyai anak,” katanya.
RUU Keluarga Islam 2025 merangkumi 11 bahagian, 178 seksyen dan enam jadual, meliputi pelbagai aspek kekeluargaan Islam termasuk perlindungan golongan rentan serta penyusunan semula struktur tanggungjawab keluarga.
Artikel lain: Kelantan Pertimbang Lesen Mendulang Emas Untuk Pelancong Luar
Mohd Asri menyifatkan penggubalan undang-undang berkenaan sebagai usaha awal yang menyeluruh untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan.
“Ia digubal bagi melindungi hak dan tanggungjawab ahli keluarga, menyelesaikan konflik secara adil, menjaga kebajikan warga emas, wanita dan kanak-kanak, selain memelihara salasilah keturunan serta maruah,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Agama atas komitmen membawa agenda kemaslahatan ummah yang selari dengan usaha Kelantan.
Terdahulu, kerajaan Persekutuan memaklumkan sedang memperincikan peruntukan undang-undang baharu berkaitan nafkah ibu bapa uzur yang dijangka diperkenalkan pada 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan menggubal undang-undang dengan punca kuasa lebih jelas menjelang Mac tahun depan, sekali gus memastikan semua anak bertanggungjawab menyediakan keperluan asas dan nafkah ibu bapa yang tidak berupaya.
Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)







































