Penganjuran Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Kabota dilihat mampu mengukuhkan sokongan dan semangat kepada warga pertahanan dalam melaksanakan penugasan penting menjaga keselamatan negara.
Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program ini mampu mengukuhkan sokongan dan semangat warga pertahanan serta membuka peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami peranan ATM dalam memelihara keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara.

Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis Karnival Hari Keluarga ATM di Tawau, hari ini.
Menurutnya, pendekatan strategik itu membolehkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkukuh peranan Warga Kerja Pertahanan berdasarkan prinsip Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
“Inisiatif ini turut menyokong keharmonian masyarakat melalui pelaksanaan konsep Whole of Government and Society (WoGos) yang menekankan sinergi antara kerajaan dan masyarakat bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kestabilan negara,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika hadir merasmikan karnival itu di Kem Kabota, Tawau hari ini yang mendapat sambutan hangat daripada lebih 3,000 anggota tentera bersama keluarga memeriahkan acara tersebut.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang acara itu, antaranya senamrobik, sukaneka, pertandingan mewarna dan beberapa pertandingan tradisional seperti tarik tali, congkak, dam haji dan memancing dalam botol serta acara sukan moden seperti e-games Mobile Legends.

Acara menarik tali antara aktiviti diadakan sempena Karnival Hari Keluarga ATM di Tawau, hari ini.
Menyentuh usaha mengukuhkan pertahanan negara, Mohamed Khaled berkata penekanan tidak hanya melibatkan soal kesiapsiagaan ATM, sebaliknya turut memberikan perhatian terhadap aspek kesejahteraan.
Artikel lain: Sokongan Keluarga, Komuniti Penting Dalam Ekosistem Pertahanan Negara
Menurutnya, anggota tentera juga seperti rakyat dan pengundi berhak melihat sebuah negara yang kuat untuk membantu usaha pasukan keselamatan dalam menjaga keselamatan negara.
“Kerajaan yang diberi tanggungjawab mesti mampu mengurus, membangun, memajukan negara dan rakyat kerana jika negara tidak diurus dengan baik, negara tidak makmur dan akhirnya menyumbang kepada cabaran dari segi keselamatan,” katanya.

Mohamed Khaled ketika bercakap kepada pemberita pada Karnival Hari Keluarga ATM di Tawau, hari ini.
Terdahulu, beliau dalam ucapannya antara lain menyeru semua warga pertahanan agar sentiasa mempamerkan sikap dan pendirian yang padu serta jelas tentang sebarang perkara yang dilakukan.
“Sebagai warga pertahanan negara, kita tidak boleh berpecah demi memastikan pasukan sentiasa dapat menjalankan tanggungjawab mempertahankan keamanan negara ini dengan baik serta lancar,” tegasnya.

Antara anggota tentera bersama ahli keluarga yang hadir memeriahkan Karnival Hari Keluarga ATM di Tawau, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled mahu semua warga pertahanan kekal taat setia menjalankan amanah menjaga dan melindungi kedaulatan negara ini tanpa melihat perbezaan asal-usul negeri.
“Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa kita merupakan anggota berkhidmat kepada Kerajaan Persekutuan dan bertanggungjawab menjaga keselamatan negara, termasuk di Sabah.
“Tidak kira asal usul dari mana… Sabah, Johor, Perlis, Kedah, Terengganu, kita semua bertanggungjawab menjaga keselamatan sama ada di pulau, pantai, kampung, pedalaman, perbatasan dan perairan negara Malaysia,” katanya.
Hadir sama di majlis itu, Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi; Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Noorul Azril Ariffin serta pegawai kanan Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.







































