Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik di Asia Barat agar segera menghentikan serangan dan melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu.
Serangan di Asia Barat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibangkitkan ketika beliau menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif pada petang Khamis bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini di Asia Barat.
Menurut Anwar, kedua-dua mereka menyuarakan kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing susulan serangan yang melibatkan rejim zionis Israel dan Amerika Syarikat.
“Tindakan ini merupakan pencabulan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.

Foto: Facebook Anwar Ibrahim
Beliau berkata, semua pihak yang terlibat perlu segera menghentikan serangan dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang berpotensi menjejaskan kestabilan serantau.
Artikel lain: Malaysia Kecam Serangan Asia Barat! Langgar Prinsip Kedaulatan & Integriti Wilayah
Dalam perbualan itu, Shehbaz turut memaklumkan perkembangan mengenai ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan serta berkongsi pandangan mengenai inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi merintis jalan damai antara kedua-dua negara.
Anwar menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Malaysia menggesa agar ketegangan ini ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik,” ujar Anwar.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim







































