Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan jaminan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan 11 pemimpin syarikat itu selepas mendapati mereka tidak memenuhi syarat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
12 Lelaki kekal ditahan, mahkamah tegas dengan Keputusan
Keputusan dibuat oleh Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar yang bersidang di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang. Menurut hakim, walaupun tujuh tertuduh mengemukakan laporan perubatan, mereka tetap dalam keadaan sihat dan mampu berdikari tanpa sebarang kecacatan atau komplikasi kesihatan serius.
Doktor yang memeriksa mereka di Klinik Kesihatan Penjara Sungai Buloh juga mengesahkan mereka boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa dan mendapat akses kepada rawatan serta ubat-ubatan jika diperlukan.
Lapan wanita dibebaskan dengan jaminan RM40,000
Namun, mahkamah membenarkan lapan tertuduh wanita dibebaskan dengan jaminan RM40,000 dan dua penjamin kerana mereka dikategorikan sebagai layak untuk pengecualian.
Mereka juga dikenakan beberapa syarat tambahan iaitu, wajib melapor diri di balai polis setiap dua minggu, perlu hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan, dilarang mengganggu saksi sepanjang tempoh jaminan dan jika sakit, wajib kemuka cuti sakit dari hospital atau klinik kerajaan
Hakim turut mengingatkan bahawa jika mereka melanggar mana-mana syarat ini, mahkamah boleh menarik balik jaminan, menaikkan jumlah jaminan, atau mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.
Artikel lain: Kolaborasi Besar! Malaysia Tempah 30 Pesawat Boeing 737 MAX Untuk Masa Depan
Kes masih berjalan, dakwaan berat menanti
Pada 23 Oktober 2024, CEO GISBH dan pemimpin syarikat itu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan. Jika disabitkan bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.
Pada 23 Disember 2023, Mahkamah Sesyen Selayang memutuskan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan. Sehingga kini, hanya seorang tertuduh, Hamimah yang merupakan akauntan GISBH, telah dibenarkan jaminan pada 13 Januari lalu.
Dengan keputusan mahkamah ini, 12 lelaki akan terus ditahan sehingga perbicaraan selesai, manakala lapan wanita dapat pulang tetapi dengan syarat ketat. Kes ini dijangka terus menjadi tumpuan kerana melibatkan dakwaan jenayah terancang dalam dunia perniagaan.
Sumber gambar: Utusan Malaysia
Sumber: Sinar Harian (Nor Azlida Alimin)
