Pakar bedah dan personaliti media sosial kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri, 38, berkongsi detik bermakna apabila menerima sijil Doktor Falsafah (PhD) daripada Imperial College London, United Kingdom.
Dr Amalina tamat PhD di Imperial College London
Dalam hantaran di Instagram, Dr Amalina meluahkan rasa syukur atas kejayaannya menamatkan pengajian tersebut,yang disifatkannya sebagai antara perjalanan paling mencabar tetapi penuh erti dalam kehidupannya.
“Hari ini saya terima sijil PhD saya, Alhamdulillah. #DrDr🤲🏼” tulisnya pada Selasa.
Dr Amalina berkata, ketika memulakan pengajian, beliau menyangka cabaran terbesar hanyalah untuk menyeimbangkan antara kerja klinikal dan akademik, namun tidak menyangka perjalanan hidupnya membawa makna yang jauh lebih mendalam.
“Apabila saya mula PhD, saya fikir bahagian paling sukar ialah mengimbangi kerja akademik dan klinikal, ujian klinikal, analisis data, tarikh akhir, penulisan tanpa henti dan syif di hospital.
“Tetapi kehidupan mempunyai sesuatu yang lebih besar dan lebih bermakna untuk saya.” katanya.
Sepanjang tempoh pengajian itu, beliau bukan sahaja menamatkan penyelidikan tetapi turut melalui fasa penting dalam kehidupan peribadinya iaitu bergelar isteri dan kemudian ibu kepada dua cahaya mata.
“Sepanjang PhD saya, saya berkahwin, menjadi seorang isteri, dan kemudian seorang ibu kepada dua anak yang comel.
“Tiba-tiba, hidup saya bukan lagi sekadar tentang kertas penyelidikan dan panggilan hospital, tetapi juga tentang berjaga malam, gigi anak tumbuh, dan mencari ruang kecil untuk berehat di celah kesibukan itu.” ujarnya.
Beliau turut berkongsi cabaran mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar PhD, pegawai perubatan dan juga seorang ibu muda , satu peranan bertindan yang menuntut kekuatan fizikal dan emosi yang luar biasa.
Artikel lain: Anak Malaysia Catat Sejarah, Lulus PhD Cambridge ‘Without Correction’ – “Saya Ke Sana Bawa Nama..”
Dalam tempoh yang sama, beliau perlu memenuhi tuntutan akademik yang ketat seperti penulisan tesis, analisis data dan pembentangan penyelidikan, di samping meneruskan jadual kerja klinikal di hospital yang tidak menentu.
“Ada malam saya menenangkan anak yang tidak sihat sambil risau tentang tarikh akhir tugasan, dan ada pagi saya ke hospital hanya dengan dua jam tidur.
“Dan ketika saya menyiapkan viva dan tesis, saya sedang mengandung anak kedua, detik yang menjadikan perjalanan ini lebih istimewa.” kongsinya.
Baginya, pengalaman itu mengajar bahawa kekuatan sebenar bukan tentang melakukan semua perkara dengan sempurna, tetapi tentang terus melangkah walau dalam keletihan.
“Sepanjang semuanya, saya belajar bahawa kekuatan bukan tentang melakukan segalanya dengan sempurna. Ia tentang terus hadir walaupun penat, dan mengingatkan diri kenapa saya mula.
“Saya belajar untuk lepaskan kesempurnaan, fokus pada apa yang penting, dan bersandar pada orang yang menyayangi saya, suami, keluarga dan para mentor saya. Mereka inilah sandaran saya. Ijazah ini untuk mereka.” tulisnya lagi.
Dalam perkongsian sama, beliau menjelaskan penyelidikannya menumpukan kepada teknologi boleh pakai (wearable technology) bagi membantu pesakit pulih selepas pembedahan kanser payudara, sesuatu yang amat dekat di hatinya sebagai doktor.
“Penyelidikan saya menumpukan kepada teknologi boleh pakai dan bagaimana ia boleh membantu pesakit pulih selepas pembedahan kanser payudara.
“Setiap kali saya rasa lelah, saya akan teringat kepada wanita-wanita yang saya harap dapat saya bantu melalui kajian ini — wanita yang kuat dan berani, yang menjadi inspirasi untuk saya terus maju.” ujarnya.
Sementara itu, Dr Amalina menitipkan pesanan penuh semangat buat semua wanita, khususnya para ibu yang sedang berjuang menyeimbangkan pelajaran, kerja dan keluarga.
“Kepada semua wanita (terutamanya ibu) yang sedang mengimbangi kerja, pengajian dan keluarga, ia tidak mustahil. Anda tidak perlu jadi sempurna. Teruskan saja, satu langkah demi satu langkah.
“Jika ada satu perkara yang saya pelajari, inilah dia, anda tidak perlu memilih antara impian dan keluarga. Anda boleh membina kedua-duanya, dengan kasih sayang, keberanian dan ketabahan.
“Jangan sesekali meremehkan kekuatan anda. Anda lebih mampu daripada yang anda bayangkan. ❤️🌻” kongsinya sebagai penutup.
Kejayaan Dr Amalina bukan sekadar lambang kecemerlangan akademik, tetapi juga bukti bahawa wanita mampu mengimbangi kerjaya, keluarga dan impian.
Kisahnya menjadi inspirasi kepada ramai bahawa dengan cinta dan kesungguhan, tiada impian yang mustahil untuk dicapai.
Sumber: Instagram Dr Amalina Che Bakri