Pemandu Volkswagen Jetta Singapura didenda RM9,000 selepas mengaku salah atas tuduhan mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan itu di Mahkamah Majistret hari ini.
Menurut laporan Berita Harian, Orang Kena Saman (OKS), Long Sa Kow, 64, boleh dipenjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Malah bagi perbuatan mengisi RON95 seperti yang tular di media sosial, Sa Kow didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Didenda RM9,000

Foto: Berita Harian
Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli yang mewakili OKS memohon kepada mahkamah agar hukuman denda minimum memandangkan Sa Kow seorang pesara dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“OKS menanggung seorang isteri yang juga suri rumah serta tiga anak yang mana dua daripadanya masih belajar dan sekolah.
“Ini kesalahan kali pertamanya dan OKS berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya ini dan akan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Kerajaan Malaysia,” katanya.
Artikel lain: Hotel Konsep ‘Mesra Kaum Sejenis’ Kosong Ketika Diserbu Pihak Berkuasa
Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya pula memohon agar OKS dijatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran.
Pada 2 Januari lalu, tular di media sosial Sa Kow mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam di sini, kira-kira jam 10.30 malam.
Dalam kejadian itu, lelaki terbabit sepatutnya menggunakan nombor pendaftaran SLJ 8967 M namun, bertindak menutup huruf S dan M untuk mengisi minyak petrol subsidi tersebut.
Sumber: Berita Harian (Izz Laily Hussein)







































