Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menegaskan isu buli perlu ditangani tanpa berlengah kerana ia mengundang ancaman serius terhadap keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.
Buli di Malaysia perlu ditangani segera
Menurut laporan Bernama, wakil UNICEF ke Malaysia merangkap Wakil Khas ke Brunei Darussalam, Robert Gass melahirkan rasa bimbang dan dukacita susulan laporan terbaharu berkaitan kes buli melibatkan kanak-kanak, sambil mengingatkan bahawa masalah itu boleh membawa kepada tragedi.
Beliau turut menekankan bahawa setiap kanak-kanak berhak berasa selamat di sekolah, dan ibu bapa tidak sepatutnya hidup dalam kebimbangan sama ada anak mereka pulang ke rumah dengan selamat atau tidak.
“Sekolah mesti menjadi ruang yang selamat dan menyeronokkan, tempat kanak-kanak belajar, membesar serta membina persahabatan dengan penuh maruah dan hormat,” katanya pada Rabu.
Menurut Gass, kanak-kanak sendiri sudah lama menyuarakan rasa bimbang mereka tentang isu buli. Dalam tinjauan UNICEF pada 2017, buli muncul sebagai antara kebimbangan utama, manakala dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 pula mendapati 8.6 peratus kanak-kanak pernah menjadi mangsa buli hanya dalam tempoh sebulan yang lalu.

Foto: Bernama
Beliau menjelaskan, hasil panduan UNICEF dan perbincangan bersama kanak-kanak menunjukkan keperluan kepada saluran aduan yang lebih selamat, dasar sekolah yang lebih tegas, serta guru yang mampu menangani isu ini dengan penuh empati agar murid dapat belajar tanpa rasa takut.
Artikel lain: Kes Buli Londeh Seluar Junior, Enam Pelajar Dibebaskan Dengan Jaminan Polis
Katanya lagi, insiden yang dilaporkan media kebelakangan ini menonjolkan betapa pentingnya sistem perlindungan kanak-kanak di Malaysia diperkukuh, supaya dapat mencegah dan memberi tindak balas berkesan terhadap keganasan, eksploitasi, pengabaian dan penderaan sama ada berlaku di alam maya mahupun di dunia nyata.
“Ini termasuk melabur dalam perkhidmatan pekerja sosial profesional serta tenaga kerja perkhidmatan sosial yang lebih luas seperti kaunselor sekolah,” ujarnya.
Pada masa sama, Gass menghargai usaha kerajaan bersama rakan kerjasama dalam menangani isu keganasan terhadap kanak-kanak, namun beliau menegaskan keperluan untuk memperkukuh dasar yang benar-benar berpusatkan kanak-kanak, meningkatkan keberkesanan sistem perlindungan serta membudayakan rasa prihatin di bilik darjah.
“Paling utama, semua usaha ini mesti menegakkan hak setiap kanak-kanak untuk mendapat keselamatan, maruah dan pendidikan tanpa rasa takut,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa usaha menangani isu ini perlu beralih daripada budaya menyalahkan kepada mencari penyelesaian.
Katanya, kanak-kanak yang membuli juga adalah kanak-kanak yang hak mereka perlu dilindungi, dan sebarang tindakan ke atas mereka harus melalui proses bimbingan serta langkah yang bersesuaian.
UNICEF dalam masa sama menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan budaya buli dapat dibanteras dan tidak lagi menjadi sebahagian daripada realiti di Malaysia.
“Setiap kanak-kanak berhak untuk selamat, dihargai dan dilindungi di setiap ruang mereka berada. Melindungi hak ini bukan sekadar tanggungjawab di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, tetapi janji yang mesti kita tepati,” katanya.
Sumber: Bernama
