Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim menasihati pemimpin muda agar tidak hanyut dengan pengaruh kuasa sehingga membawa kepada pengkhianatan terhadap amanah yang telah diberikan oleh rakyat.
Adam Adli nasihat pemimpin muda

Foto: Free Malaysia Today
Memetik laporan MalaysiaGazette, Adam menyeru agar pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak lupa diri ketika berada di tampuk pimpinan bagi mengelakkan kesilapan lampau yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
Beliau turut menegaskan bahawa sejarah perjuangan PKR bukanlah bersandarkan kebencian terhadap individu tetapi terhadap penyelewengan dan kebobrokan dalam pentadbiran yang mengetepikan rakyat.
“Kuasa bukan alat untuk bermewah-mewah atau mengumpul kekayaan. Ini amalan dan praktik lampau yang keji dan tidak boleh kita ulangi.
“Biar kita sentiasa diingatkan, saatnya jika kita membelakangi rakyat, rakyat akan membelakangi kita semula. Andai itu berlaku terhadap kita, sia-sialah setiap apa yang selama ini diperjuang, dilaung, dan dicita-citakan,” kata Adam di Kongres Nasional AMK, hari ini.

Foto: NST
Ucapan itu dibuat sekali gus merupakan mandat terakhir beliau sebagai Ketua AMK, dan berharap nasihatnya itu diambil iktibar sebagai garis panduan kepada kepimpinan akan datang.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut menekankan kepimpinan organisasi sebagai asas penting parti dan juga kerajaan.
Sementara itu, Adam juga mengambil maklum berkenaan keperluan dan keresahan anak muda yang dilihat begitu penting dalam meneruskan perjuangan AMK supaya tidak dilihat ketinggalan dari realiti semasa.
“Biar kita faham dengan baik intipati kepada pembinaan sebuah peradaban dan ketamadunan, yang disulam semangat Islah atau Reformasi yang diperjuangkan kita semua,” ujar beliau.
Artikel lain: Nurul Izzah Adalah Masa Depan Untuk PKR – Adam Adli
Difahamkan, Adam menyeru agar AMK bersiap siaga sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam memperkukuhkan konteks geopolitik dan mengambil peluang ini untuk menjadi kuasa besar global yang suaranya akan sentiasa didengari oleh dunia.
Sumber: MalaysiaGazette (Muhammad Azizul Osman)
