Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah memberi tiga amaran namun tidak dipedulikan bot migran Indonesia di perairan berhampiran Pulau Carey minggu lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata anggota Maritim Malaysia yang bertugas menaiki bot kelas Penggalang Tiga ketika kejadian itu.
Bot migran Indonesia tak endah amaran dari Maritim Malaysia
Katanya, Maritim Malaysia telah menggunakan pembesar suara untuk memberi amaran kepada bot migran Indonesia itu untuk berhenti, namun tidak dihiraukan.
Ketika pihak berkuasa Malaysia mengejar, bot migran Indonesia tersebut cuba merempuh bot Maritim Malaysia sehingga anggota terpaksa melepaskan tembakan ke udara sebagai isyarat supaya bot migran berhenti.
Sebagai langkah terakhir, katanya barulah tembakan dilepaskan ke arah bahagian enjin kapal berkenaan.
“Tindakan pertama memberi amaran itu adalah tindakan sangat penting. Ternyata bot (dinaiki migran Indonesia) tidak menghiraukan amaran lalu terus bergerak dan memecut laju. Maksudnya bot itu harus dikejar.
“Ketika itu juga, berlaku percubaan bot migran Indonesia melanggar bot Maritim Malaysia. Percubaan langgar itu secara jelas menyasarkan pada bahagian enjin bot Maritim Malaysia yang menggunakan petrol.
“Jika bot enjin petrol dirempuh boleh mengakibatkan letupan. Kerana perbuatan melanggar itulah, maka tembakan amaran dilepaskan ke udara.
“Di sebalik tembakan amaran ke udara itu, bot itu tidak terhenti. Dan ketua bot Maritim Malaysia, dalam keadaan begitu kemudian menyasarkan pada bahagian enjin bot berkenaan ketika kejar-mengejar.
Foto: Berita Harian
“Diberi amaran tak berhenti, diberi tembakan amaran juga tidak berhenti, maka tembakan seterusnya pada bahagian enjin bot tersebut untuk membolehkan bot itu berhenti.
“Tapi ternyata bot itu terus memecut dan berjaya meloloskan diri daripada dikejar. Kemudian bot Maritim Malaysia balik semua ke jeti,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Artikel lain: Parti Buruh Indonesia Tunjuk Perasaan, Baling Telur Depan Kedutaan Besar Malaysia
Dalam insiden yang berlaku pada 24 Januari lalu jam 2.58 pagi, Pusat Kawalan Maritim Malaysia di Klang mengesan kontak curiga yang merujuk bot dinaiki migran Indonesia cuba memasuki perairan negara di perairan Pulau Carey.
Pusat Operasi Maritim Selangor kemudian mengarahkan bot Penggalang Tiga untuk segera membuat pintasan terhadap kontak curiga berkenaan.
Pada 9 pagi keesokannya, Saifuddin Nasution berkata pihaknya menerima satu laporan mengenai bot tersadai di darat dan menemui dua lelaki.