Seorang wanita direman hingga Rabu bagi membantu siasatan susulan kes buang bayi perempuan di sebuah kedai makan di Sanglang, Kangar, Perlis pada 19 Januari lalu.
Ibu ditahan kes buang bayi
Menurut laporan Majoriti, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek ditahan di sebuah rumah di Simpang Empat kira-kira jam 2.55 pagi Isnin.
Yusharifuddin berkata, wanita itu tinggal bersama empat anaknya yang masih kecil manakala suami pula berada dalam tahanan di sebuah Pusat Tahanan Serenti.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sekeping kad SIM telefon, gunting, cadar serta sampel uri yang sudah pun dibakar oleh suspek,” katanya hari ini.
Artikel lain: Bayi Maut: Taska Tidak Berlesen Diarahkan Tutup, Disita
Beliau memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati wanita berusia 29 tahun itu mengaku terbabit dengan kejadian tersebut.
“Suspek berkata, dia melahirkan seorang bayi perempuan tanpa ditemani atau bantuan sesiapa dalam tandas sebuah rumah di Jalan Tok Pulau, Kampung Permatang Kersek di Simpang Empat pada 18 Januari sekitar pukul 6.30 petang.
“Kira-kira 10 jam kemudian, suspek pergi ke sebuah kedai makan di Kampung Rama, Sanglang dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning milik rakannya dan meninggalkan bayi yang baharu dilahirkan di premis berkenaan,” ujarnya.
Difahamkan, bayi tersebut dalam keadaan sihat dan masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar selain berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Sumber: Majoriti (Farah Ayuni Zulkefli)