Seorang lelaki berpakaian seperti mumia yang berjalan kaki di Jalan Panchang Bedena menghala ke pekan Sungai Besar, Sabak Bernam pada Isnin telah ditahan polis.
Lelaki berpakaian seperti mumia berkeliaran di sekitar Sungai Besar
Foto: media sosial
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Robin Guha Thakurta berkata pihak polis mengesan perkara itu melalui video yang tular di laman sosial pada kira-kira pukul 10 pagi.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan individu berusia 25 tahun itu di Parit 6.
Artikel lain: Seorang Lagi Ditahan Kes Pukul OKU Mental Di Pasar Tani
“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mengalami masalah gangguan mental,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pihak polis kemudian membawa individu tersebut ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan lanjut dengan ditemani oleh waris.
Foto: media sosial
Sebelum penahanan, individu berkenaan telah menimbulkan tanda tanya kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya apabila berjalan kaki dalam keadaan berbalut seperti mumia.
Difahamkan, lelaki tersebut dilihat bersahaja dengan muka yang tidak kelihatan berjalan di tengah jalan raya tanpa mempedulikan keselamatan sendiri.
Robin turut mengingatkan orang ramai terutama pengguna media sosial supaya terus menghubungi polis untuk menyalurkan maklumat dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran atau mengganggu ketenteraman awam.
Sumber: Harian Metro (Amirul Aiman Hamsuddin)