Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini perlu mencapai Indeks Jisim Badan (BMI) di bawah paras 28 sebagai syarat tambahan untuk layak menerima pemangkuan dan kenaikan pangkat.
Syarat baru kenaikan pangkat BMI di bawah 28
Foto: BERNAMA
Menurut laporan Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain mengumumkan syarat baharu itu semasa Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
“Pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat kini diperketatkan dengan syarat tambahan bahawa BMI pegawai dan anggota perlu berada pada tahap kurang daripada 28,” katanya.
Menurut Razarudin, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesihatan dan memastikan keterampilan pegawai PDRM dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.
Jelasnya, proses pemangkuan pangkat dalam PDRM kini diperkukuhkan untuk memastikan pelaksanaan yang lebih telus dan adil kepada semua yang berkelayakan.
Foto: Sinar Harian
“Bermula tahun 2025, proses pemangkuan pangkat akan diperhebat dengan pelaksanaan penilaian e-Kursus dan Penilaian Kompetensi Atas Talian (PeKAT),” jelasnya.
Artikel lain: Polis Kesan Tiga Lelaki Sebar, Edar Risalah Kristian Secara Terbuka
Razarudin menambah bahawa langkah tersebut bertujuan mengekang isu pilih kasih serta memastikan pemilihan calon dibuat berdasarkan kompetensi dan kelayakan sebenar.
PDRM juga telah memperkenalkan dasar Pemangkuan Pangkat bagi Pegawai Kanan PDRM bersama pembinaan Sistem Pembangunan Sumber Manusia yang lebih cekap dan efisien.
Dalam perkembangan sama, dasar pemangkuan pangkat dari Asisten Superintenden (ASP) ke Deputi Superintenden (DSP) sedang dilaksanakan bagi mengisi 254 kekosongan jawatan DSP di seluruh negara.
PDRM komited dalam memastikan warganya berpengetahuan, kompeten dan berdaya saing melalui pelbagai inisiatif latihan di bawah agenda Transformasi Pembangunan Modal Insan.
Sumber: Utusan Malaysia (Aidiel Zabidi)