Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan dana zakat berjumlah RM19.85 juta kepada Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) bagi tahun ini.
MAIWP berkata, KPBKL turut menerima sumbangan berjumlah RM699,350 melibatkan pelbagai bentuk seperti wakalah zakat, peralatan pendidikan dan pembinaan infrastruktur baru seperti makmal komputer.
“Pada tahun 2024 ini sahaja, MAIWP telah memperuntukkan dana zakat berjumlah RM19.85 juta untuk tahun 2024 bagi membantu pelajar di KPBKL melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai jurusan pengajian,” kata MAIWP dalam satu kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar merasmikan Karnival Soul Journey Belia Asnaf sempena sambutan ulang tahun ke-50 MAIWP di Kuala Lumpur semalam.
Sementara itu, MAIWP berkata, karnival memasuki tahun kedua itu bertujuan untuk memupuk jati diri dan memberikan asas keagamaan serta kekeluargaan kepada belia asnaf, khususnya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu negara.
“Pelbagai pengisian telah dirancang sepanjang karnival ini diadakan antaranya sesi motivasi, pertandingan sukan, e-Sukan, dan reruai pameran agensi serta syarikat di bawah MAIWP,” ujarnya.
Hadir sama Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Ahli MAIWP Zuri Zabuddin Budiman dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.