Seorang pempengaruh media sosial, Sana Yousaf, 17, dilaporkan maut akibat ditembak di kediamannya di Islamabad, Pakistan, pada Isnin.
Menurut laporan NST, Sana yang mempunyai pengikut lebih sejuta di TikTok dan Instagram, popular dengan kandungan video pendek, mesej inspirasi serta pandangan budaya yang sering mendapat sambutan hangat daripada golongan muda.

Foto: mirror.co
Dia turut dikenali sebagai seorang aktivis, menghasilkan kandungan menyentuh isu budaya, hak wanita dan pemerkasaan belia.
Polis telah membuka kertas siasatan bunuh selepas menerima aduan daripada ibu mangsa.
Pegawai Balai Polis Sumbal, Malik Asif, mengesahkan bahawa pembunuhan berlaku di dalam rumah mangsa dan dipercayai dilakukan oleh individu yang dikenalinya.
“Suspek adalah tetamu biasa yang pernah datang ke rumah tersebut dan ini menunjukkan kemungkinan wujudnya hubungan peribadi antara mereka,” katanya.
Maklumat awal polis menyatakan bahawa seorang lelaki telah masuk ke rumah keluarga itu sekitar jam 5 petang pada hari Isnin dan melepaskan dua das tembakan ke arah dada Sana.
Mangsa sempat dikerjakan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Suspek dilaporkan melarikan diri sejurus kejadian dan identitinya masih belum didedahkan kepada umum.
Ibu mangsa yang menyaksikan kejadian itu bersama adik iparnya menggambarkan suspek sebagai lelaki berpakaian hitam, bertubuh sederhana dan berpenampilan kemas serta kedua-duanya yakin mereka boleh mengecam suspek jika ditunjukkan secara langsung.

Foto: NST
Adik lelaki mangsa yang berusia 15 tahun tidak berada di rumah ketika kejadian kerana pulang ke kampung halaman, manakala ibu saudaranya hanya berada di rumah untuk lawatan sementara.
Kematian Sana mencetuskan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan peminat dan aktivis tempatan.
Tanda pagar #JusticeForSanaYousaf kini tular di media sosial, dengan ribuan pengguna menuntut keadilan serta langkah lebih proaktif bagi melindungi personaliti media sosial di negara itu, khususnya golongan wanita muda.
Sumber: New Straits Times
