Jenayah indeks di Kelantan merekodkan peningkatan sebanyak 15.1 peratus dalam tempoh Januari hingga Disember 2024 berbanding tahun lalu.
Jenayah indeks di Kelantan meningkat

Foto: Suara.TV
Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan pada 2024 sebanyak 2,296 kes dicatatkan berbanding 1,994 kes bagi tempoh sama pada tahun 2023 menunjukkan penambahan sejumlah 302 kes keseluruhannya.
“Daripada jumlah itu, jenayah dalam kategori kekerasan meningkat 8.5 peratus iaitu daripada 390 kepada 423 kes, manakala kategori harta benda meningkat 16.7 peratus, daripada 1,604 kepada 1,872 kes.
“Antara kes kekerasan yang menunjukkan peningkatan ketara ialah rogol yang naik kepada 157 kes berbanding 130 kes tahun sebelumnya (naik 20.7 peratus), serta samun berkawan tanpa senjata api yang meningkat kepada 54 kes berbanding 43 kes (naik 25.6 peratus),” kata Mohd Yusoff di Universiti Malaysia kelantan pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan kes mencederakan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 157 kes berbanding 147 tahun lepas bertambah 6.8 peratus.
Namun begitu, kes bunuh merekodkan sedikit penurunan kepada empat kes berbanding sembilan kes dengan 55.6 peratus manakala samun bersenjata api turun kepada dua kes berbanding lima kes, pengurangan 60 peratus.

Foto: the.Sun
Bagi kategori harta benda dan curi kekal menjadi penyumbang utama dengan 732 kes dilaporkan, meningkat 50.9 peratus berbanding 485 kes pada tahun lalu.
“Kes pecah rumah turut melonjak kepada 628 kes, meningkat 41.7 peratus berbanding 443 kes pada 2023. Kes curi motokar juga naik kepada 12 kes berbanding sembilan tahun lepas meningkat 23.3 peratus.
“Walaubagaimanapun, curi motosikal menunjukkan penurunan ketara, daripada 128 kes kepada 68 kes (turun 46.9 peratus,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Timbalan Mufti Kelantan Akui Ketagihan Telefon Pintar Punca Kes Perkosa, Sumbang Mahram Meningkat
Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menjelaskan bahawa negeri tersebut adalah kedua paling selamat selepas Sabah setelah melihat nisbah jenayah indeks kepada populasi penduduk yang disahkan melalui laporan terkini mengenai kadar jenayah di Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sumber: BERNAMA
