Misteri bau busuk di Blok A, tingkat lapan, Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong terjawab apabila membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki berusia 46 tahun ditemui meninggal dunia dalam rumah berkunci, semalam.
Penemuan mayat dalam rumah berkunci
Memetik laporan Harian Metro, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4 petang apabila mangsa dijumpai tidak bernyawa di atas lantai bilik tidur utama selepas pasukan bomba berjaya membuka pintu kediamannya.
Difahamkan, perkara itu terbongkar selepas jiran mengesan bau busuk dari rumah berkenaan dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafidzatullah Rashid, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheng bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 4.25 petang.
“Sebaik tiba, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati seorang lelaki berada di dalam rumah yang berkunci. Komander operasi kemudian mengarahkan pintu dibuka dan pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia,” kata Mohd Hafidzatullah, hari ini.
Beliau menambah, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Artikel lain: Misteri Bau Busuk Empat Hari Terungkai, Mayat Jiran Ditemui Terbaring Dalam Rumah
Operasi dikawal pada jam 4.35 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 8.08 malam, menurutnya.
Setakat ini, punca kematian masih dalam siasatan pihak berkuasa, manakala pihak JBPM Melaka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.10 petang.
Sumber: Harian Metro (Meor Riduwan Meor Ahmad)







































