Permintaan seorang anak yatim piatu, Abdur Rahman, 21, untuk menyunting foto pernikahannya dengan memasukkan semua ahli keluarga yang telah meninggal dunia meruntun hati ramai pengguna media sosial.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Abdur Rahman Amir Ruddin meluahkan hasrat agar arwah ibu, bapa serta adik-beradiknya dapat ‘hadir’ dalam satu foto kenangan walaupun hanya melalui hasil suntingan gambar.
“Saya bukan minta apa-apapun, cuma nak gambar kami seakan-akan real (nyata). Saya nak mereka (abi, umi dan adik-beradik) seolah-olah berada di sisi seperti mana pengantin lain.
“Mereka tak sempat lihat saya mendirikan rumah tangga, jadi saya seperti mahu memberitahu mereka,”ujarnya.
Abdur Rahman Mohon Sunting Foto Nikah
Menurut Abdur Rahman, foto berkenaan ingin diletakkan dalam bingkai dan disimpan di sisi katil sebagai peneman rindu terhadap insan tersayang yang telah pergi.
Abdur Rahman yang kini menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan bahasa Arab berkata, permintaan itu dibuat bagi mengubati kerinduan terhadap ahli keluarganya yang telah dijemput Ilahi.
Meskipun ramai netizen tampil membantu menyunting gambar pernikahannya, anak sulung daripada enam beradik itu mengakui masih belum menemui hasil suntingan yang benar-benar menyentuh hatinya.
“Hati saya tergerak untuk buat permintaan ini selepas melihat ramai netizen yang melalui situasi sama seperti saya melakukan perkara sama.
“Ramai netizen dah buat, jadi cubalah ikut mereka. Saya tidak mengharapkan apa-apa, cuma inginkan kebahagiaan, saya harap akan menemukan gambar yang diidam-idamkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Artikel lain: Pernah Tular Hilang 6 Ahli Keluarga, Abdul Rahman Sah Bergelar Suami Di Usia 21 Tahun
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai apabila orang awam bukan sahaja membantu menyunting gambar seperti diminta.
Malah, mereka turut mendoakan agar Abdur Rahman terus tabah menjalani kehidupan serta dipermudahkan urusannya bersama insan tersayang di sisi.
Terdahulu, Abdur Rahman pernah diuji kehilangan enam ahli keluarga serentak dalam satu nahas jalan raya di Segamat, Johor, pada 1 September 2023, ketika usianya masih muda.
Dalam tragedi tersebut, ibunya, Norahimah Noor Muhamad, bapanya, Amir Ruddin Ismail, serta empat adiknya disahkan meninggal dunia, sekali gus menjadikan Abdur Rahman yatim piatu.
Sumber: Threads rahmanlah___
















































