Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditinggalkan di hadapan sebuah restoran di sini pada Isnin akhirnya berjaya dipulangkan semula kepada keluarganya selepas lebih 45 minit berada tanpa pengawasan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Polis Daerah Raub memaklumkan bahawa pihaknya berjaya menghubungi keluarga kanak-kanak terbabit setelah menerima laporan daripada seorang lelaki yang menemui anak kecil itu berkeliaran sendirian.

Foto: FB Polis Daerah Raub
“Keluarga terbabit hadir ke Balai Polis Raub pada jam 4 petang untuk mengambil semula kanak-kanak itu,” katanya.
Menurut siasatan, keluarga tersebut dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Tersan, Dong dan berhenti sebentar di sebuah restoran sekitar jam 12 tengah hari untuk makan serta menyelesaikan beberapa urusan.
Artikel lain: Kanak-Kanak Meninggal Dunia Dalam Kereta Rosak, Mekanik Terhidu Bau Pelik
Ketika hendak berangkat, rombongan itu berpecah menaiki dua kenderaan. Berlaku salah faham apabila ibu bapa mangsa menyangka anak mereka dibawa oleh kakak si ibu yang menaiki kereta lain.

Foto: FB Polis Daerah Raub
“Mereka hanya menyedari kehilangan kanak-kanak tersebut apabila tiba di Kuala Lumpur, apabila si ibu bertanyakan kepada kakaknya tentang keberadaan anaknya. Pada ketika itu barulah mereka sedar bahawa mangsa sebenarnya tertinggal di Raub,” ujarnya.
Terdahulu, lelaki yang menemui anak kecil itu memaklumkan bahawa dia melihat si kecil berjalan sendirian di kawasan parkir restoran tanpa sesiapa menghampiri.

Foto: FB Polis Daerah Raub
Dia menunggu hampir 45 mnit dengan harapan waris mangsa itu kembali mencari, namun apabila tiada siapa muncul, dia mengambil keputusan membawa kanak-kanak tersebut ke balai Polis Raub bagi keselamatan.
Polis turut menzahirkan penghargaan kepada lelaki berkenaan kerana bertindak cepat menjaga keselamatan anak kecil itu sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.
Susulan insiden ini, pihak polis menasihatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap pergerakan anak kecil, terutama ketika dalam perjalanana jauh atau melibatkan lebih daripada satu kenderaan.
Langkah berhati-hati katanya penting bagi mengelakkan kejadian berisiko yang boleh mengancam keselamatan kanak-kanak.
Sumber: Facebook @Polis Daerah Raub







































