Lima pemancing yang hilang selepas bot fiber mereka terbalik akibat cuaca buruk akhirnya ditemui selamat di sangkar ikan berhampiran Pulau Ketam pada Isnin.
Ditemui selamat di sangkar ikan
Memetik laporan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh menyatakan insiden berlaku selepas kumpulan itu keluar menangkap ikan pada Ahad dan gagal dihubungi keluarga.
“Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima laporan awal daripada seorang ahli keluarga mangsa yang memaklumkan kehilangan bot berkenaan.
“Pada jam 12.50 tengah hari Isnin, komuniti maritim melaporkan penemuan sebuah bot fiber terbalik kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Pulau Ketam, dipercayai bot dinaiki lima mangsa tersebut,” katanya.
Hilang ketika memancing, ditemui di sangkar ikan
Susulan itu, dua aset Maritim Malaysia digerakkan untuk pencarian awal sebelum Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan Operasi Carilamat pada jam 1 petang dan menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat di jeti nelayan Kampung Telok Nipah, Pelabuhan Klang.
“Pada jam 4.47 petang, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima maklumat daripada seorang individu yang dikenali sebagai Anuar memaklumkan lima mangsa telah ditemui di sangkar ikan di perairan Pulau Ketam.
“Kesemua mangsa yang terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia 23 hingga 57 tahun dalam keadaan selamat. Kelima-lima mangsa telah dibawa ke jeti nelayan Kampung Telok Nipah dengan bot Penggalang 31 dan telah selamat tiba pada pukul 5.50 petang,” katanya.
Alami kecederaan disengat ikan
Abdul Muhaimin menambah, dua mangsa mengalami kecederaan di kaki akibat disengat ikan.
“Salah seorang mangsa memaklumkan kepada anggota penyelamat, insiden tersebut berlaku apabila bot dinaiki mereka terbalik kerana cuaca buruk dan mereka berenang ke sangkar ikan berhampiran bagi menyelamatkan diri,” katanya.
Artikel lain: 63 Calon SPM SMK Jitra Dipindah Demi Keselamatan, Air Naik Ketika Jawab Peperiksaan
Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk tindakan lanjut dan Operasi Carilamat ditamatkan pada jam 6.30 petang.
Beliau turut mengingatkan orang awam supaya mengutamakan keselamatan ketika berada di laut, termasuk penggunaan jaket keselamatan dan pemantauan cuaca.
Sumber: Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia







































