Seorang pemuda tampil memohon maaf selepas didakwa memperlekeh guru, dengan mengatakan dirinya belum pernah melihat profesion tersebut menggunakan kereta mewah Lamborghini meskipun sering menekankan kepentingan pendidikan.
Pemuda berkenaan dikenali sebagai Zeekry, memuat naik satu video di TikTok bagi menjelaskan semula kenyataannya sekali gus memohon maaf kepada individu yang tersinggung sebelum ini.
Dalam video berdurasi hampir dua minit itu, dia mengakui kecuaiannya ketika bercakap sehingga menimbulkan kemarahan dan menerima nasihat daripada orang ramai untuk dijadikan pengajaran.
“So first adalah, aku minta maaf. Aku minta maaf sebab dari segi ayat aku membuatkan ramai orang terasa… buat ramai orang marahlah. So aku sedar tu salah aku.
“Aku berterima kasih kerana nasihat korang… mungkin benda ni takkan jadi lagi lah. So aku sedar salah aku kat sini,” katanya pada Ahad.
Zeekry turut menjelaskan mengenai dakwaan bahawa dia mempamerkan kereta Toyota Supra sebagai miliknya, sesuatu yang turut menjadi bahan kecaman netizen.
“Toyota Supra tu aku tak claim pun itu kereta aku. Aku tak cakap pun kereta tu kereta aku… kereta tu memang ada kat situ. Takkan aku nak claim tu kereta tu,” jelasnya sambil menegaskan bahawa gambarnya bersama kenderaan tersebut disalah tafsir.
Menjawab tuduhan lain bahawa dia terlibat dalam kegiatan penipuan atau scam, Zeekry menafikan dakwaan tersebut.
“Kalau scam, scam tak tunjuk muka. Kalau betul aku ni scammer, dah lama aku kena tangkap. Takkan tak ada seorang pun buat report polis.
“Lagi sekali aku minta maaf kepada rakyat Malaysia yang terasa dengan aku… aku memang betul-betul minta maaf,” katanya lagi.
Difahamkan, Zeekry menjalankan aktiviti pelaburan secara dalam talian.
Terdahulu, tular sekeping fotonya yang dilihat bergambar di hadapan kereta Toyota Supra dengan kapsyen “Katanya tanpa sekolah dan ijazah, kamu tak akan berjaya, tapi aku belum pernah melihat guru memakai Lamborghini”.
Namun berdasarkan pemerhatian, kenderaan itu adalah milik seorang wanita yang telah tampil membuat penjelasan bahawa dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pemuda berkenaan.
Sumber: TikTok zeekry_sam







































