Skuad Harimau Malaya terus mempamerkan prestasi cemerlang dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 apabila membelasah Laos 5-1 pada aksi Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa.
Kemenangan itu mengekalkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Peter Cklamovski selepas empat perlawanan dan memastikan Malaysia terus kukuh di tangga teratas kumpulan dengan 12 mata penuh.
Malaysia memulakan perlawanan dengan garang, menguasai tempo permainan dan mencipta beberapa peluang awal. Seawal minit keempat, sepakan Romel Morales berjaya ditampan penjaga gol Laos, Kop Lokphatip.
Harimau Malaya Menang Bergaya!
Laos bagaimanapun memberi tentangan. Pada minit ke-18, Damoth Thongkhamsavath hampir mengejutkan penyokong tuan rumah dengan sepakan jarak jauh yang berjaya diselamatkan Syihan Hazmi.
Empat minit kemudian, Chanthavixay Khounthoumphone mengejutkan Malaysia apabila rembatan jauhnya terkena Shahrul Saad sebelum menerjah gawang, meletakkan Laos di depan 1-0.
Malaysia terus menekan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38 melalui sepakan Morales. Gol penyamaan akhirnya hadir pada minit ke-58 hasil sepakan percuma cantik daripada Faisal Halim.
Morales meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-64 hasil gerakan satu-dua bersama Arif Aiman Hanapi.
Lima minit kemudian, Morales sekali lagi menjaringkan gol selepas tandukan Dion Cools daripada sepakan penjuru disudahkan dengan tenang untuk gol ketiga Harimau Malaya.
Malaysia mengekalkan asakan sehingga pemain gantian Laos, Khammanth Thapaseut, tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-80.
Artikel lain: Nilai Skuad Pasaran Harimau Malaya Melonjak Dari RM34 Juta Ke RM57.8 Juta
Lima minit kemudian, Paulo Josue menambah jaringan kelima untuk mengukuhkan kemenangan bergaya tuan rumah.
Dengan kemenangan 5-1 itu, Malaysia kekal di tangga teratas Kumpulan F dengan 12 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua dengan sembilan mata selepas menewaskan Nepal 1-0.
Laos kini berada di kedudukan ketiga dengan tiga mata, manakala Nepal kekal tercorot tanpa sebarang mata.
Selepas ini, Malaysia dijadual berdepan Nepal pada 18 Nov dan akan menamatkan saingan kumpulan menentang Vietnam di Hanoi pada Mac tahun depan.
Sumber: BERNAMA
