“Helikopter yang di depan melancarkan laser dan menyasarkannya kepada saya. Saya bersyahadah banyak-banyak kerana menyangka saya menjadi salah satu sasaran mereka, memandangkan saya pernah ke sini sebelum ini.”
Itu perkongsian peserta misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG), Dr Fauziah Mohd Hassan, ketika ditemui Astro Awani selepas tiba di Istanbul, Turkiye, pada malam Jumaat.
Beliau menceritakan detik mencemaskan ketika helikopter tentera melancarkan serangan laser ke arah kapal mereka dalam pelayaran yang penuh cabaran.
“Ada sebuah helikopter yang terbang sangat dekat dengan kapal dan angin sangat kuat. Saya duduk di bahagian paling depan kerana jawatan saya sebagai Steering Committee (SC) kapal.
“Saya rasa seperti hendak melayang, tetapi pegang kuat-kuat supaya tidak jatuh.
“Alhamdulillah, banyak terkena laser pada kaki dan kepala, tetapi tiada kecederaan yang membahayakan. Namun, ada juga yang dikasari semasa insiden itu,” katanya.
Dr Fauziah Banyak Bersyahadah
Menurut Dr Fauziah, misi berkenaan tidak hanya bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan, tetapi melambangkan keberanian dan suara wanita yang menolak untuk berdiam diri terhadap penindasan.
“Ramai merasakan tidak puas hati dan ingin melakukan sesuatu.
“Sebenarnya, tiada sebab untuk berdiam diri apabila peluang untuk memecahkan kepungan melalui laut terbentang luas,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan keberanian moral dalam usaha kemanusiaan itu dengan pesanan tegas “Silence is not an option.”
Katanya lagi, setiap individu mampu memainkan peranan masing-masing dalam membantu perjuangan kemanusiaan.
“Setiap orang, termasuk ibu di rumah, mempunyai keupayaan untuk menyokong misi ini melalui kepakaran atau tindakan masing-masing, bukan sekadar berdoa,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur selepas selamat tiba di Istanbul dan dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
“Ini merupakan pengalaman pelayaran kedua saya selepas kali pertama pada 2016. Kali ini, kami dibawa ke penjara Kezyot di Negev.
“Keadaan sangat berbeza kerana kami diberi amaran bahawa serangan pihak berkuasa boleh berlaku dalam tempoh lima hingga 10 minit sahaja,” katanya.
Artikel lain: FFCxTMTG: Aktivis Malaysia Dikasari, Diberi Layanan Tidak Berperikemanusiaan
Sebelum ini, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengesahkan semua sembilan kapal dalam misi FFC x TMTG telah dipintas oleh tentera di perairan antarabangsa pada pagi Rabu.
Selain Dr Fauziah, tujuh lagi rakyat Malaysia yang berada di atas kapal utama Conscience ialah Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakirah Mohd Suhaimi, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.
Misi kemanusiaan itu membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, disertai oleh 150 peserta dari 25 negara, termasuk sembilan rakyat Malaysia.
Sumber: Astro Awani
