Connect with us

Hi, what are you looking for?

Sukan

Boikot Liga? Masih Ada Masa Lagi Bubar, Tunjuk Mentaliti Bola Sepak Malaysia -TMJ

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menyindir cadangan segelintir pihak yang mahu memboikot saingan Liga Super musim depan susulan beberapa isu membelenggu kancah bola sepak tempatan.

“Masih ada masa lagi untuk bubar liga. Boikot ramai-ramai. Tunjuk kepada dunia mentaliti bola sepak Malaysia,”titah baginda dalam satu hantaran di Instagram Story.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada beberapa kritikan terhadap kualiti Liga Malaysia, termasuk dakwaan bahawa saingan Liga Super semakin hambar dan tidak kompetitif.

Artikel lain: “Tak Mampu Bersaing, Jangan Hasut Tarik Diri..”- TMJ Kecewa Mentaliti Bola Sepak Malaysia

Selain itu, isu berpanjangan seperti tunggakan gaji yang masih menjejaskan beberapa pasukan turut mencetuskan cadangan untuk memboikot liga sebagai tanda protes terhadap kelemahan pengurusan.

Dalam hantaran sama, TMJ turut memuat naik infografik kejuaraan Liga Super sejak musim sulung pada 2004 hingga musim 2024-25. Data tersebut menunjukkan dominasi JDT yang telah merangkul kejuaraan selama 11 musim berturut-turut sejak 2014.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Menariknya, bagi musim 2025-26, logo JDT ditampilkan dalam keadaan separa kabur, sekali gus memberi bayangan bahawa pasukan itu bersedia untuk meneruskan penguasaan dalam liga tertinggi bola sepak Malaysia.

Bagaimanapun, TMJ menegaskan bahawa tumpuan seharusnya diberi kepada kerja keras dan pembangunan struktur bola sepak, bukan mencari kambing hitam.

Dalam kenyataan susulan kepada media hari ini, Pemangku Sultan Johor itu secara terbuka mengajak penyokong bola sepak tempatan untuk ‘menggunakan’ baginda sepenuhnya demi kemajuan sukan tersebut, khususnya dalam konteks Harimau Malaya.

“Saya akan kekal dan teruskan bekerja untuk majukan JDT dan menyokong pasukan kebangsaan dengan apa yang boleh. Jadi adalah lebih baik kamu (penyokong bola sepak) gunakan saya sebaiknya,” titah baginda ketika ditemui pemberita.

TMJ turut mendedahkan bahawa terdapat pihak tertentu yang cuba menggagalkan program naturalisasi dengan menjadikan baginda sebagai sasaran, meskipun tidak dapat menyerang secara langsung.

“Satu dua bulan ini memang ada gerakan tidak mahu melihat perkara (naturalisasi) berjaya, sasaran utama adalah saya. Mereka tidak boleh serang secara terus jadi mereka kritik JDT, Liga Malaysia dan pasukan kebangsaan,” titahnya.

Dalam masa sama, baginda turut menegaskan pentingnya penyokong membezakan antara saingan domestik dan tanggungjawab menyokong skuad kebangsaan.

“JDT telah diiktiraf oleh FIFA dan AFC, kita berada dalam 10 pasukan terbaik di Asia. Tetapi disebabkan ‘rivalry’, mereka tak boleh bezakan saingan domestik dengan kepentingan kebangsaan. Bagi saya, kedua-duanya berbeza,” jelas TMJ.

Mengulas lanjut tentang isu naturalisasi pemain, baginda berkata pendekatan itu adalah langkah progresif dan terbukti berkesan dalam pembangunan bola sepak moden.

“Negara jiran kita juga sudah ambil langkah sama. Kita bukan sahaja lihat asal usul mereka atau warna kulit, tetapi akhirnya adalah dedikasi mereka kepada pasukan kebangsaan.
“Bagi saya secara peribadi, saya tiada masalah pemain itu datang dari mana, asalkan mereka ada darah dan ada kaitan dengan Malaysia,” titah baginda.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung cadangan boikot yang tular di media sosial.

Namun, kebimbangan terhadap masa depan beberapa pasukan kekal menjadi isu menjelang sepak mula musim baharu.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Sumber: IG hrhcrownprinceofjohor

Farah Nadia
Written By Farah Nadia

Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Nama peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Hamid Ismail mula jadi perhatian umum sejak kebelakangan ini. Bukan sahaja kerana peranan besarnya dalam kes sensasi...

Sosial

Baru-baru ini, sebuah pejabat kerajaan di Putrajaya dikecohkan dengan kejadian gangguan entiti seram yang tular di media sosial. Rakaman video dan gambar yang dikongsi...

Sosial

Dua minggu lalu, Siti Norshahila Balqis Roslan, 19, melangkah penuh semangat ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Ayer Hitam, Jempol dengan senyuman dan lambaian terakhir...

Lokal

Seorang lelaki dilaporkan hilang telah ditemukan meninggal dunia di dalam hutan air terjun di Kampung Teluk Sanau, Baling. Memetik laporan Berita Harian, Ketua Balai...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd