Dua beradik dihadapkan ke Majistret di Klang hari ini atas tuduhan curi van jenazah, angkara terdesak mahu melangsaikan hutang RM30,000 daripada Ah Long.
Memetik laporan Kosmo! Online, Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid menjatuhi hukuman penjara enam bulan selepas kedua-dua Abdul Hamid Rizan, 27 dan Faizal, 23, mengaku bersalah.
Dua beradik akui bersalah curi van jenazah
Foto: Kosmo! Online
Difahamkan, dua beradik tertuduh merupakan anak yatim dan diperintahkan menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap, pada 25 Januari lalu.
Oleh itu, barang kes iaitu van jenazah tersebut telah dipulangkan semula kepada pemiliknya di masjid yang terletak di Telok Gong, Pelabuhan Klang.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua dengan niat curang telah menyimpan harta curi, iaitu sebuah van jenazah bernilai RM30, 000 milik sebuah masjid yang dilaporkan hilang sehingga tular di media sosial.
Pertuduhan dibuat mengikut 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang sekiranya disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda.
Bagaimanapun, peguam Mark Jeyakumar memaklumkan kedua-dua anak guamnya merupakan pekerja gudang sebuah platform jual beli dalam talian dengan gaji masing-masing sebanyak RM1, 500.
Terdesak mahu langsaikan hutang along RM30,000
Foto: Berita Harian
Hal ini kerana, tertuduh Abdul Hamid telah berkahwin dan mempunyai tiga anak manakala adiknya, Faizal juga telah berkahwin namun belum dikurniakan cahaya mata dengan isteri masing-masing berada di Sabah.
“Adalah tidak dinafikan bahawa dua tertuduh simpan van itu. Mereka dijanjikan akan mendapat bayaran sejumlah RM30, 000.
“Tujuan mereka adalah kerana terdesak apabila sekumpulan peminjam wang tidak berlesen yang kerap mengganggu mereka.
“Mereka memohon meminjam wang itu kerana segala pembelanjaan dibiayai abang sulung mereka (Abdul Hamid).
“Sekarang dua anak guam saya menghadapi pertuduhan dan mereka mempunyai dua lagi adik lelaki iaitu berusia 14 dan 18 tahun yang terpaksa menguruskan diri masing-masing termasuk membayar sewa bulanan rumah,” ujarnya.
Foto: Carian Google
Artikel lain: Lima Beradik Yatim Piatu, Ibu Bapa Maut Elak Babi Melintas
Mereka turut memohon maaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan tersebut.
“Ini kali pertama mereka menghadapi pertuduhan di mahkamah. Justeru, memohon pertimbangan satu bon dibawah Seksyen 173A atau Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.
“Tetapi sekiranya mahkamah berpendapat bon tidak sesuai, mohon hukuman penjara minima agar mereka dapat kembali kepada pengakuan keluarga,” katanya.
Pegawai Pendakwa Inspektor, Mohamad Rabiul Awal Ishak menegaskan bahawa kes tersebut telah mendapat liputan meluas dalam media sosial.
“Mohon hukuman setimpal bagi kepentingan awam dengan kenderaan curi itu adalah bagi kegunaan pengangkutan jenazah selain barang kes iaitu van jenazah itu dikembalikan semula kepada pemiliknya,” tegasnya.
Sumber: Kosmo! Online (Mohd Yunus Yakkub)