Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan menyerahkan notis tuntutan kepada Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang mendakwa wanita itu mempunyai kaitan dengan keluarga konglomerat Yeoh dari YTL Corporation Bhd.
Memetik laporan Malaysiakini, menerusi platform X, Hannah memberi amaran tentang tindakan undang-undang terhadap Razman yang semalam memohon maaf atas kesilapannya semasa ucapan selama 30 minit baru-baru ini, dengan satu minit petikan dakwaan tersebut menjadi tular.
Hannah Yeoh hantar surat saman melalui peguam kepada Razman Zakaria
Foto: X @hannahyeoh
“Sebenarnya ucapan Razman Zakaria Pesuruhjaya PAS Perak yang menuduh saya macam-macam melebihi satu minit.
“Nantikan surat daripada peguam saya. Fitnah tidak boleh dibenarkan menjadi satu kebiasaan terutamanya oleh orang yang beragama,” tulis Ahli Parlimen Segambut itu hari ini.
Difahamkan, Razman telah mengaku bersalah dan memohon maaf kerana mendakwa Hannah sebagai “anak YTL”.
Foto: Facebook Haji Razman Zakaria
“Saya mengakui kesilapan fakta tentang kaitan Hannah Yeoh dan syarikat gergasi YTL. Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL. Ia kesilapan petikan yang berlaku tanpa sengaja.
“Dengan kenyataan ini saya menyatakan kekesalan dan pernyataan maaf kepada pihak YB Hannah Yeoh dan YTL serta mana mana pihak yang terkesan atau tersentuh dengan kenyataan atas kekeliruan fakta tersebut,” ujarnya.
Foto: themalaysianreserve
Razman dalam ceramahnya baru-baru ini mendakwa pemimpin DAP itu sebagai “anak YTL” dimana kumpulan YTL diasaskan oleh mendiang Yeoh Tiong Lay, anaknya Francis Yeoh Sock Ping kini menjadi pengerusi eksekutif.
Foto: Facebook Haji Razman Zakaria
Mengulas lanjut, Razman bagaimanapun menyalahkan media kerana “mengerat” video panjang ceramahnya untuk dijadikan tajuk berita.
“Ucapan saya yang dipetik Malaysiakini adalah ayat yang bukan isi utama apatah lagi ceramah tersebut menampilkan tiga tokoh utama,” jelasnya.
Artikel lain: Isu Buku ‘Becoming Hannah’, Polis Terima 182 Laporan Terhadap Hannah Yeoh
Ini permohonan maaf kedua Razman kepada pemimpin DAP dalam tempoh tidak sampai dua bulan.
Terdahulu, Razman memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kerana mengaitkannya dengan insiden kibaran bendera China di Teluk Intan, pada 24 Oktober tahun lalu.
Sumber: Malaysiakini, X @hannahyeoh, Facebook Haji Razman Zakaria