Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi agensinya Tourism Malaysia telah melangsungkan sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan di wilayah tengah, Petaling Jaya pada Khamis.
Menerusi satu kenyataan, sesi libat urus yang pertama pada tahun 2025 ini bertujuan untuk memberikan gambaran menyeluruh mengenai Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
MOTAC promosi pelancongan di Malaysia dengan kerjasama dengan pemain industri
Dalam pada itu, sesi libat urus ini turut membincangkan pelan strategik TMM2026 serta kemas kini mengenai insentif bersama geran yang ditawarkan oleh MOTAC, seperti Geran Promosi Pelancongan (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC).
Sementara itu, Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing berkata kerjsama antara kementeriannya dan 39 rakan strategik, termasuk persatuan pelancongan, perkhidmatan pengangkutan dan media tempatan adalah bukti sinergi antara sektor swasta dan awam.
“Dengan bekerjasama dalam inisiatif dan aktiviti bersama, MOTAC berhasrat untuk terus mempromosikan pelbagai tawaran pelancongan Malaysia dan meletakkan negara ini sebagai destinasi pelancongan utama.
“Melalui perkongsian tidak eksklusif ini, kami berharap dapat memanfaatkan kepakaran mereka untuk menyokong aspirasi Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara rakan strategik termasuk Persatuan Pemilik Hotek Malaysia (MAHO), Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) dan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA).
Selain itu, antara rakan media domestik termasuk Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Prima Holdings Berhad, Star Media Group Berhad, Media Prima Omnia dan Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM).
Sementara itu, sesi padanan perniagaan telah diadakan bagi memastikan program yang berimpak tinggi serta kadar penukaran yang lebih cepat dalam mencapai objektif bersama menarik 35.6 juta pelancong dan menjana pendapatan RM147.1 bilion untuk TMM2026.
“Peta hala tuju TMM2026 dibina berdasarkan tiga strategi utama iaitu mencipta permintaan, meningkatkan trafik dan mengutamakan pasaran saham.
“Inisiatif utama termasuklah penjenamaan dan pemasaran secara besar-besaran, perkongsian strategik untuk promosi bersama dengan kempen taktikal serta pembahagian pasaran,” ujar kenyataan itu.
Sebelum ini, Malaysia menerima kedatangan 22.5 juta pelancong dari Januari hingga November 2024, menunjukkan peningkatan sebanyak 26 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Sepuluh pasaran pelancongan utama yang menyumbang kepada kedatangan pelancong ke Malaysia adalah dari Singapura, Indonesia, China, Thiland, India, Brunei, Korea Selatan, Filipina, Australia dan Taiwan.