Insiden seorang pendakwah di Indonesia yang didakwa menghina seorang penjual teh dalam satu majlis ceramah sehingga videonya tular di media sosial wajar menginsafkan semua, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut laporan Buletin TV3, beliau menyifatkan insiden itu menjadi pengajaran besar, terutama kepada golongan berilmu serta yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat supaya bersikap lebih mulia dan tidak mudah menghina golongan bawahannya.
Foto: UtusanMalaysia
“Di Indonesia, beberapa hari ini riuh rendah di media sosial seorang kiai (pendakwah) dalam dakwahnya, dia menghina seorang penjual teh. Saya lihat ramai yang menonton.
“Di antara paling miskin, tapi dia pendakwah dan rakan-rakannya, dengan ketawanya. Sehingga Presiden (Indonesia), Prabowo (Subianto) beri kenyataan agak keras. Akhirnya dia (pendakwah) itu berkunjung ke daerah penjaja berkenaan dan mohon maaf.
“Ini satu contoh bahawa keangkuhan, sombong itu bukan saja dikalangan orang yang tak tahu agama, tapi orang yang faham agama, yang bicara tentang Islam akidah dan solat, tapi kadang-kadang boleh menghina,” katanya sewaktu berucap pada perhimpunan bersama kakitangan Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya hari ini.
Foto: Carian Google
Baru-baru ini, tular video memaparkan Miftah Maulana Habiburrahman atau lebih dikenali sebagai Gus Miftah menghina seorang penjual teh ais dengan mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ terhadap lelaki berkenaan.
Media Indonesia melaporkan, perkataan hinaan itu dikeluarkan pendakwah berkenaan ketika berceramah di Magelang, wilayah Jawa Tengah pada 20 November lalu.
Susulan insiden itu, Prabowo dilaporkan telah menegur serta mengingatkan pendakwah terbabit supaya jangan mudah menghina golongan bawahan.
Sumber: Buletin TV3