Seorang warga emas sempat berbuka puasa dan menyertai bacaan yasin berjemaah sebelum menghembuskan nafas terakhir seusai menunaikan solat Maghrib di Masjid Zahir, Kedah, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, Pegawai Media Masjid Negeri, Muhd Azam Abdullah menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku semasa jemaah membaca doa dan diikuti surah Yassin pada pukul 8.25 malam.
Foto: FB Masjid Zahir
Ujarnya, Rosnah Ramli disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang melakukan pemeriksaan setelah wanita tersebut rebah secara tiba-tiba.
“Arwah hadir ke masjid bersama suaminya dan mereka terlebih dulu berbuka puasa sebelum menunaikan solat jemaah serta membaca surah Yassin bersama jemaah lain di masjid ini malam tadi,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Sementara itu, Muhd Azam berkata, jemaah disebelahnya memaklumkan bahawa warga emas berusia 60 tahun ini ada menunjukkan keadaannya yang seperti tidak selesa sebeluh rebah di ruangan solat wanita.
“Selepas itu, kami terus menghubungi talian kecemasan dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” ujarnya.
Difahamkan, selain solat jemaah, arwah dan suaminya juga sering melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti agama yang dianjurkan di masjid tersebut.
Foto: FB Masjid Zahir
Tambahnya, anak-anak arwah turut hadir ke masjid dan suaminya kelihatan tenang dengan pemergian mengejut isterinya itu.
“Malam tadi kami menjadi saksi kepada sebuah pengakhiran hidup yang sangat baik dan mulia. Semoga ini menjadi pengajaran, iktibar dan pedoman buat kita semua,” jelaskan.
Foto: FB Masjid Zahir
Sekadar info, jenazah allahyarham dikatakan akan dikebumi di tanah perkuburun Kampung Telaga Mas, Pokok Sena pada hari ini.
Sumber: Harian Metro (Zuliaty Zulkiffli)