“Kebimbangan dibangkitkan mengenai kesan yuran yang bakal dikenakan ke atas peniaga dan impak kepada harga barangan dan perkhidmatan boleh difahami. “Bagaimanapun, dua jenis e-pembayaran yang berbeza telah disifatkan oleh media sebagai sama, iaitu kadar diskaun pedagang (MDR) dan yuran 50 sen untuk transaksi melebihi RM5,000.
“Liputan tersebut telah secara tidak tepat menggambarkan dua jenis e-pembayaran yang berbeza sebagai satu yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kredit foto: China Press
PayNet berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan media mengenai sebuah institusi perbankan tempatan yang memaklumkan pelanggannya mengenai pengenaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 November 2023 dan beberapa bank kononnya tidak tahu menahu perkara ini.
Advertisement. Scroll to continue reading.
PayNet berkata, seorang peniaga akan menerima bayaran yang dibuat oleh pelanggan mereka selepas ditolak MDR.
Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian MDR pada pembayaran QR. Mulai 1 November, penepian MDR untuk pembayaran DuitNow QR ini akan ditarik balik,” katanya.
Sebaliknya, ia menambah yuran 50 sen untuk urus niaga melebihi RM5,000 adalah sebenarnya untuk pemindahan dana rakan setara (peer-to-peer) daripada QR peribadi ke QR peribadi lain, bukan pembayaran kepada peniaga.
“Ini sama sekali tidak berkaitan dengan pembayaran QR kepada pedagang dan kedua-dua yuran tidak akan dikenakan untuk transaksi yang sama dalam apa-apa situasi,” kata PayNet.
Ia seterusnya menjelaskan MDR terkumpul akan dikongsi antara PayNet dan bank pemeroleh yang berkaitan atau pemeroleh pihak ketiga untuk menampung penyelenggaraan rangkaian serta kos ditanggung oleh bank dan pemeroleh pihak ketiga untuk memperoleh penyertaan peniaga bagi menikmati perkhidmatan ini.
“Sebagai insentif galakan penggunaan ketika tempoh pengenalan pembayaran QR pada 2019, MDR telah diketepikan. Penepian ini dilanjutkan lagi berikutan penularan pandemik Covid-19. Ia bukanlah suatu yuran baharu mahupun caj tambahan,” jelas pengendali itu.
Ia berkata, 1 November 2023 adalah permulaan kepada penamatan pengecualian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih sembilan bulan yang lalu.
Selain itu, dana rizab bakal diwujudkan dengan MDR yang dikutip oleh PayNet untuk memberi insentif kepada pemeroleh supaya tidak mengenakan sebarang MDR kepada para peniaga kecil.
Advertisement. Scroll to continue reading.
“Walaupun PayNet tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan harga pasaran yang dikenakan kepada peniaga, beberapa bank pemeroleh dan pemeroleh pihak ketiga berhasrat untuk sama ada terus menangguhkan pengenaan MDR atau menyerapnya untuk peniaga kecil.
“Dalam hal ini, peniaga perlu menyemak dengan bank atau pemeroleh pihak ketiga mereka untuk mengesahkan perkara ini,” katanya.
Kredit foto: Amanz
Mengenai caj 50 sen pula, PayNet menjelaskan adalah tidak tepat untuk menyatakan caj dikenakan kepada pembayaran yang dibuat kepada peniaga dan juga tidak tepat untuk menyatakan MDR dicaj untuk pemindahan dana menggunakan QR peribadi.
“Caj 50 sen itu adalah untuk pemindahan dana melebihi RM5,000 menggunakan DuitNow QR peribadi,” katanya
PayNet turut menjelaskan pembelian menggunakan kad kredit dan debit sudahpun tertakluk kepada MDR.
Produk dan perkhidmatan yang dibeli dengan kad kredit atau debit adalah pada harga yang sama dengan pembelian tunai.
Advertisement. Scroll to continue reading.
“Oleh itu, kami tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembelian menggunakan DuitNow QR selepas MDR dikenakan,” tegasnya.
Berkaitan dakwaan urus niaga secara tunai adalah percuma, PayNet berkata kajian oleh firma penyelidikan global Roubini Thoughtlab pada 2018 mengesahkan bahawa tanggapan ini jauh tersasar kerana anggaran faedah dari tanpa penggunaan tunai kepada para perniagaan jauh melebihi kos.
“Manfaat bersih terkumpul 15 tahun (2017-2032) dianggarkan sekitar US$4.2 bilion (US$1=RM4.705) berikutan penjimatan daripada pengurangan kerja manual dan faedah dari e-pembayaran (iaitu peningkatan faedah/kadar keuntungan bank yang diperoleh, tiada penyesuaian manual, tiada kerugian berkaitan kekurangan, pengurangan keperluan pekerja dan penjimatan daripada mengendalikan wang tunai),” katanya.
Kredit foto: Malay Mail
Menurut PayNet, sebarang perbincangan atau dialog mengenai perkara ini harus berteraskan pemahaman yang tepat, betul dan termaklum sepenuhnya berasaskan fakta sahih dan cara sebenar bagaimana industri pembayaran digital beroperasi.