Connect with us

Inspirasi

Tunai Impian Cucu Nak Jadi Cikgu, Datuk Sanggup Jual Rumah & Tinggal Dalam Beca

Kehilangan anak tersayang adalah satu situasi yang sangat memilukan bagi ibu bapa. Namun begitu, bukan semua orang mempunyai masa untuk meratapi kematian insan tersayang.

Begitulah seperti kisah seorang penarik beca di India ini yang menginginkan kehidupan terbaik untuk cucunya selepas kehilangan kedua-dua anak lelakinya sehingga sanggup menjual harta pusaka sendiri.

Semuanya bermula sejak 6 tahun lalu, apabila lelaki berumur 74 tahun bernama Desraj Ji itu kehilangan anak lelaki sulungnya.

Belum sempat meratapi pemergian anaknya, sehari selepas itu dia terpaksa bekerja semula sebagai penarik beca memandangkan dia bertanggungjawab menyara isteri, menantu serta cucunya.

Malang tidak berbau, dua tahun kemudian anak bongsunya pula pergi buat selama-lamanya setelah bunuh diri. Sebagai satu-satunya tunggak keluarga, dia sanggup membanting tulang demi masa depan cucunya.

Beberapa hari selepas anak bongsunya dikebumikan, cucu perempuannya yang berusia 14 tahun mengajukan soalan kepadanya sama ada dia perlu berhenti belajar. Bagaimanapun, Desraj dengan tegas menjawab:

“Jangan! Kamu belajarlah sebanyak yang boleh,” ujarnya.

Berikutan itu, Desraj mula bekerja dalam tempoh lama dalam masa sehari. Keluar rumah dari jam 6 pagi dan tarik beca hingga tengah malam. Bahkan, ada beberapa kali dia dan keluarga terpaksa ikat perut kerana tiada sebarang makanan untuk dimakan.

“Hanya dengan itu, saya dapat meraih RS 10,000 (RM566.28) sebulan. Setelah membelanjakan RS 6,000 (RM339.77) untuk yuran sekolah cucu, saya akan tinggal dengan hampir RS 4,000 (RM226.51) untuk sara 7 orang keluarga saya.” katanya lagi.

Namun begitu, segala kesusahan yang dihadapinya itu seakan hanya mimpi buat dirinya lebih-lebih lagi apabila cucunya berjaya meraih markah 80% sewaktu peperiksaan penting di sekolah.

“Apapun, semua ini membuahkan hasil bila tahun lepas, cucu saya beritahu yang dia bahawa mendapat markah 80% dalam peperiksaan, saya sangat teruja!
“Sepanjang hari, saya memberikan perjalanan percuma kepada semua pelanggan saya. Dia berkata kepada saya, “Dadaji, saya ingin mengikuti kursus B.Ed di Delhi,” luahnya.

Mendapat perkhabaran gembira tersebut, dialah insan yang paling bahagia di dunia. Malah, dia secara sukarela membawa semua penumpangnya secara percuma pada hari itu.

Apabila cucunya itu menyatakan hasrat ingin sambung belajar dalam bidang pendidikan di Delhi, Desraj berusaha sedaya upaya bagi memastikan impian cucunya menjadi seorang guru itu tercapai.

Oleh itu, dia bertindak menjual rumahnya dan hanya tinggal dalam beca.

“Nak biaya pendidikannya di kota menjangkau kemampuan saya, tetapi saya harus memenuhi impiannya, walau apa pun. Jadi, saya menjual rumah kami dan membayar yurannya.
“Kemudian saya menghantar isteri, menantu dan cucu-cucu saya yang lain ke rumah saudara-mara di kampung kami, sementara saya terus tinggal di Mumbai tanpa bumbung,” jelasnya lagi.

Selepas setahun Desraj menjual rumahnya demi pendidikan cucu, dia tidak menyesal langsung dengan keputusan tersebut. Malah, gembira melihat cucunya berjaya.

“Sejujurnya, hidup ini tidaklah seteruk mana, saya makan dan tidur di dalam beca, bawa penumpang. Hanya duduk sahaja, dan ia buatkan kaki saya sakit, kemudian cucu saya hubungi saya dan beritahu dia orang pertama sampai ke kelas, semua sakit saya tu dah hilang.” katanya dengan gembira.

Menurut Desraj, dia sangat teruja untuk melihat cucunya menjadi seorang guru.

“Saya boleh peluk dia dan mengatakan bahawa saya bangga dengannya. Dia akan menjadi ahli keluarga pertama yang berpendidikan dalam keluarga kami,” tambahnya lagi.

Disebabkan kesungguhannya berkorban apa sahaja demi cucunya, kisahnya menjadi tular di serata India. Justeru itu, netizen memberikan sumbangan untuk membela nasib mereka sekeluarga. Hasil daripada sumbangan tersebut, atuk itu berjaya meraih sebanyak RM135,937.19.

Sumber: Humans of Bombay, Scoop Whoop (Meenu Katariya)

 

"Manusia itu asalnya dari tanah, makan hasil tanah, berdiri di atas tanah, akan kembali ke tanah. Kenapa masih bersifat langit?" - Hamka

Continue Reading
Advertisement

Trending