MPV Capitals Ltd, IDC Capital Sdn Bhd dan Eramas Trustee Berhad telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama strategik dalam mengukuhkan komitmen Program I-Asset Trust bagi menyampaian produk kewangan yang boleh dipercayai.
Pemeteraian ini sekaligus menjadi pengumuman rasmi Eramas Trustee Berhad sebagai rakan kongsi pemegang amanah baharu bagi Program I-Asset Trust, sebuah produk pelaburan bersandarkan aset inovatif yang dilancarkan pada bulan lepas.
Program I-Asset Trust yang didorong oleh kerjasama antara empat syarikat itu menyasarkan sebanyak RM100 juta jumlah pelaburan pada hujung tahun ini.
Sementara itu, Pengasas & Pengarah MPV Capitals Ltd, David Hew Chee Seng berkata Eramas Trustee Berhad adalah pilihan terbaik untuk kerjasama strategik untuk melindungi kepentingan pelabur kerana komitmen kukuh syarikat tersebut terhadap ketelusan, pematuhan dan kecemerlangan dalam pengurusan amanah.
Menurut David Hew, pendekatan dwi-kustodian Program I-Asset Trust memastikan tahap keselamatan dan pengawasan yang lebih tinggi untuk pelabur.
Unity Trust Berhad, pemegang amanah bebas juga menyediakan tahap kredibiliti dan kepercayaan tertinggi dalam menguruskan program ini.
“Sebagai Penjana Dana, Eramas Trustee Berhad akan bekerjasama untuk memastikan aset yang menyokong amanah itu diuruskan mengikut surat ikatan amanah dan perjanjian pelabur,” katanya pada majlis menandatangani MoU antara empat syarikat itu di Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perniagaan Eramas Trustee Berhad, Datuk Tan Chee Hong berkata syarikat itu akan mengawasi pelaksanaan surat ikatan amanah yang betul, mengurus pengagihan dana dan memastikan pematuhan semua keperluan kawal selia.