Connect with us

Inspirasi

Penghuni Penjara Penor Jahit Sarung PPE Buat Para Petugas Kesihatan

Semenjak krisis wabak COVID-19 melanda negara, segelintir rakyat Malaysia dilihat menzahirkan rasa bertanggungjawab dengan menghulurkan bantuan asas kepada para petugas kesihatan untuk kegunaan harian mereka.

Lebih mengagumkan, ramai yang sanggup menggunakan wang simpanan sendiri demi membantu para petugas kesihatan melaksanakan tanggungjawab memerangai COVID-19 ini dengan lancar.

Dilaporkan kini penghuni Penjara Penor juga turut mengambil bahagian mengendalikan tempahan menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit COVID-19.

Seramai 18 banduan telah terlibat dan ditempatkan dalam Bengkel jahitan Penjara Penor. Para banduan ini bertungkus-lumus mengukur, memotong dan menjahit PPE yang diperbuat daripada material khas berwarna biru bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang setiap hari.

Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hasan Hussain berkata beberapa kakitangan penjara telah mengikuti taklimat pembuatan PPE pada 25 Mac, bagi memastikan PPE yang dihasilkan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) pihak kesihatan.

Selain PPE, Abu Hasan berkata Persatuan Isteri, Anak dan Anggota serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) di situ juga telah menghasilkan 525 unit pelindung muka untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

“Saya bangga juga kerana masih dapat membantu walaupun dari penjara. Sumbangan saya tidak besar, namun saya harap ia boleh melindungi kakitangan kesihatan yang sedang berjuang” kata salah seorang banduan.

Sumber: Bernama. 

Continue Reading
Advertisement

Trending