Connect with us

Inspirasi

Pakcik Sesat Di Tengah ‘Highway’, Wartawan Bantu Hantar Pulang Ke Rumah

Seorang wartawan, LK Savantharaja dalam perjalanan untuk bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika jalan di lebuhraya mula bergerak perlahan.

Apabila tiba di lokasi ‘punca’ yang berlaku kesesakan tersebut, lelaki berusia 43 tahun itu ternampak pemandu lori Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah berhenti di tengah ‘highway’ itu bagi membantu seorang warga emas melintas jalan.

“Lelaki Melayu memimpin tangan pakcik Cina yang berusia sekitar 80-an. Sampai di tepi jalan, lelaki itu berkata dia perlu beredar segera atas urusan kerja,” tulisnya pada perkongsian posting di laman Facebook.

Sebelum beredar, Savantharaja dan seorang penunggang motosikal berbangsa Cina yang telah berhenti di tepi jalan berterima kasih kepada pemandu lori itu selain bertanya beberapa soalan kepada pakcik berkenaan.

Savantharaja berkata, pakcik tersebut tertidur di dalam bas awam selepas pulang mendapatkan rawatan di hospital. Ketika terjaga, pakcik itu telah berhenti di lokasi berbeza dan hilang arah tuju sebelum berjalan kaki sampai ke ‘highway’ tersebut.

Yesterday's story , around 2pm on my way to IPD Petaling Jaya for work .. Suddenly all the vehicles stop on the middle…

Posted by LK Savantharaja on Monday, July 6, 2020

“Kami berdua cuba menghubungi ahli keluarga pakcik itu, tapi malangnya dia tidak mempunyai sebarang nombor telefon. Mujur kami dapat alamat rumahnya yang tinggal sembilan kilometer dari ‘highway’ itu,katanya.

Risau akan sesat lagi sekiranya dihantar menggunakan Grab, Savantharaja mengambil keputusan untuk menghantar pakcik berkenaan dengan motosikalnya.

“Lelaki Cina itu kemudian membantu pakcik tersebut untuk duduk di atas motosikal saya. Selepas duduk di belakang, dia peluk saya macam anak kecil hingga selamat sampai di rumahnya,” ujarnya.

Tambah Savantharaja, dia diajak untuk masuk ke dalam rumah tetapi terpaksa menolak pelawaan tersebut kerana perlu berkejar ke lokasi bertugas.

“Saya cakap tak mengapa pakcik dan terima kasih. Pastu dia cakap, ‘raya mari rumah’. Baiknya hati pakcik. Gembira dapat bantu pakcik dengan pertolongan daripada lelaki Melayu dan Cina,” tambahnya.

Sumber : LK Savantharaja

Continue Reading
Advertisement

Trending