Polis sedang mengesan seorang wanita yang mendakwa kononnya akan melangsungkan perkahwinan bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman menyatakan bahawa pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Foto: Pahang Media
“Kita siasat perkara ini dan dalam tindakan mengesan suspek,” katanya hari ini.
Terdahulu, Istana Pahang menafikan satu hantaran tular berkenaan perkahwinan diraja melibatkan Tengku Hassanal dengan seorang wanita yang kononnya akan berlangsung pada April tahun depan.
Foto: The Sun
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mej Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya dilaporkan berkata, hantaran yang dimuat naik pengguna akaun Instagram dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_11) itu memaparkan wanita berkenaan seolah-olah merancang dan menerangkan majlis perkahwinannya bersama Tengku Hassanal.
“Istana Pahang telah beberapa kali mengesan hantaran fitnah yang dimuat naik individu sama dan meminta orang ramai agar tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuat naik selain portal rasmi Istana Pahang, iaitu istanapahang.my,” ujarnya.
Foto: Instagram @faridah.daud_11
Justeru, beliau berkata tindakan tegas boleh diambil terhadap individu terbabit atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran berbaur fitnah atau mengganggu gugat keharmonian khususnya Istana Pahang.
Sebelum ini, Tengku Hassanal sudah beberapa kali dikaitkan dengan spekulasi bakal berkahwin termasuk ketika menjelang perkahwinan dua adiknya, Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah tahun ini.
Sumber: Astro Awani, Instagram @faridah.daud_11